Wednesday, November 30, 2022

Sarawak rancang tubuhkan sekolah khas kanak-kanak autisme

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan sekolah rendah khas untuk anak-anak yang mempunyai masalah autisme dan ketidakupayaan pembelajaran lain.

“Saya sudah menugaskan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komunti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah untuk membuat laporan termasuk kepakaran mengajar yang diperlukan untuk sekolah ini,” kata Ketua Menteri dalam satu majlis di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok mengagihkan daging korban kepada 210 penerima di kawasan yang diwakilinya.

Baru-baru ini Fatimah telah berkunjung Australia bagi tujuan tersebut.

“Selepas kajian, mungkin kita dapat wujudkan sekolah khas untuk anak-anak yang menghadapi masalah tersebut,” ujarnya.

Jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut mempertimbangkan untuk menghantar guru ke Australia untuk menjalani latihan bagi memperkasakan kemahiran guru terbabit dalam mengendalikan anak-anak yang mempunyai sifat sedemikian.

Pada Mac lalu, Abang Johari berkata kanak-kanak autisme adalah sebahagian daripada masyarakat dan nasib mereka juga perlu dibela, selain membantu meringankan beban ibu bapa membesarkan anak-anak yang mengalami masalah terbabit.

“Kanak-kanak autisme ini hidup dengan penuh emosi. Sasaran kita, kesan autisme ketika belajar di sekolah khas itu dikurangkan kepada 60 peratus, sebelum mereka melangkah masuk ke persekolahan menengah,” beliau

Jelasnya, peratus kanak-kanak mengalami risiko autisme lebih tinggi sekiranya ibu mengandung mengalami demam panas, selain berada dalam keadaan tertekan yang melampau ketika mengandung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru