‘Sadak’ Aidiladha peroleh RM5370. 00

KABONG: Sebanyak RM5370. 00 berjaya diperoleh melalui ‘sadak’ Aidiladha hasil sumbangan orang ramai yang hadir menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di sini semalam.

Kutipan melalui tradisi ‘sadak’ iaitu 15 orang tukang sadak (tukang kutip) ditugaskan bergerak dari saf ke saf sebelum solat sunat mengutip sumbangan daripada para jemaah yang hadir.

Pengerusi Pengurusan Masjid Assabirin, Ahmad Johar Haji Bidin berkata kutipan yang dibuat pada tahun ini merupakan yang paling tinggi setakat ini berbanding beberapa tahun sebelumnya.

“Syukur kepada Allah kerana para jemaah telah bermurah hati menyumbang untuk masjid. Semoga Allah membalasnya dengan seribu kebaikan.

“Sumbangan daripada para jemaah amat besar maknanya kerana daripada hasil sumbangan mereka ini akan membolehkan pihak masjid melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk penduduk di sekitar kawasan ini.

” Terima kasih kepada semua penduduk dan para jemaah yang telah bermurah hati menyumbang kepada masjid.

“Dengan adanya sumbangan sebegini maka ia akan membantu pihak masjid melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk penduduk sekitar daerah ini.

“Dengan adanya hasil sumbangan ini juga maka pihak majid dapat melakukan usaha menambah peralatan dan keperluan masjid jika diperlukan, ” ujarnya.

Tambah Ahmad Johar, sebaik selesai solat sunat Aidiladha pihak pengurusan masjid terus melaksanakan aktiviti sembelihan lembu korban yang melibatkan tujuh ekor lembu yang dibeli hasil sumbangan ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir sebanyak RM40,000.