Parti komponen GPS setia kepada Abang Johari

Foto: Page TVSarawak.com

KUCHING: Empat parti komponen GPS berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan berkata, isu ahli GPS berhasrat untuk melompat parti tidak timbul sama sekali kerana mereka yakin terhadap kepemimpinan Abang Johari yang juga Pengerusi GPS.

GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018 terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

“Jadi apa yang dinyatakan ketua penerangan PKR tentang ahli GPS menyertai parti berkenaan adalah tidak benar,” jelasnya.

“Itu dakwaan beliau, dan ia tidak benar, “ tegas Snowdan.

“Kecualilah beliau dapat memberi justifikasi, siapa, di mana, bahagian mana, dengan kata lain, identiti ahli GPS berkenaan,” katanya lagi.

“Saya fikir itu hanya permainan persepsi PKR,” ujarnya.

Jelasnya, sudah pasti ada motif tersembunyi di sebalik semua itu.

“Mereka mahu mengalihkan perhatian rakyat tentang apa yang berlaku terhadap kepemimpinan pusat dalam parti itu,” katanya.

PKR kini berdepan krisis antara Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan tersebarnya video intim.