Langkah bendung feri lebih muatan di Kuala Igan

MUKAH:  Bagi membendung berlakunya masalah lori lebih muatan di feri Kuala Igan, JKR Bahagian Mukah akan memasang sekatan pembatas ketinggian dan tender bagi tujuan tersebut dijangka akan dikeluarkan  pada akhir Ogos ini.

Menurut kenyataan media Cawangan Komunikasi Korporat JKR Sarawak, perkhidmatan feri berkenaan menjadi jaringan pengangkutan menghubungkan kawasan di sepanjang jalan pesisir.

“Kenderaan bersaiz besar dan lebih muatan seperti lori  tanker, lori kargo, lori sawit, lori pengangkutan menggunakan feri ini menyebabkan kesesakan bagi orang awam yang menggunakan perkhidmatan  feri yang disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

“Fenomena ini dapat dilihat di pangkalan Feri Kuala Igan di mana lori bersaiz besar menunggu giliran seawal jam 6.00 pagi dan sekitar 3.30 petang untuk menggunakan perkhidmatan feri,” katanya lagi.

Ulasan itu ekoran kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya  yang mahu syarikat besar dan konglomerat mewujudkan perkhidmatan feri bagi kegunaan diri sendiri bagi mengelakkan kesesakan dan pengguna feri menunggu lama.

Jelasnya,  perkhidmatan feri di Kuala Igan untuk orang awam sering terganggu dengan lori-lori syarikat yang menggunakan kemudahan sama.

“Lori-lori bersaiz raksasa milik syarikat-syarikat konglomerat dan kapitalis ini telah menyebabkan kesesakan teruk bagi orang awam yang mahu menggunakan khidmat feri yang disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya melalui catatan dalam Facebooknya bertarikh 8 Ogos 2019.

Fenomena ini menurutnya dimaklumkan penduduk kampung terjadi sejak dua hingga tiga bulan lalu dan keadaannya semakin teruk dan tidak terkawal.

“Hal ini amat merisaukan memandangkan kemudahan feri disediakan oleh pihak kerajaan adalah untuk kemudahan rakyat kecil di kampung,” ujarnya lagi.

Katanya, saiz lori dimaksudkan bersamaan 12 kereta paling kecil kegunaan penduduk dengan bayaran sama iaitu RM1 dan ia adalah sesuatu yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa.

“Tujuan feri diwujudkan adalah untuk kegunaan rakyat dan bukannya diambil kesempatan  syarikat konglomerat yang punya perniagaan bernilai berbilion-bilion ringgit yang wujud di sekitar pesisir Sarawak,” kata Juanda lagi.  

Jelas Juanda, ini bukanlah bermakna beliau tidak menyukai syarikat besar serta konglomerat mempunyai perniagaan di kawasannya.

Namun katanya, beliau mahu ada jalan penyelesaian oleh pihak berkuasa serta syarikat  terbabit agar perkhidmatan feri awam tidak terganggu dan berjalan lancar seperti biasa.