KUCHING: Dua lelaki melecur di bahagian anggota badan semasa cuba meleraikan perselisihan faham antara adik dan bapa mereka di Kampung Stenggang, Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Poge Nyaon berkata dalam kejadian 8 malam itu, seorang lelaki berusia 19 tahun telah  bertindak membakar kereta bapanya sendiri setelah permintaannya untuk menggunakan kenderaan tersebut ditolak.

“Berdasarkan laporan, sebelum kejadian berlaku, suspek telah meminta kunci kereta, namun tidak dibenarkan oleh abang dan bapanya, suspek yang berang kemudian keluar dari rumah sambil mengugut untuk membakar dan mengebom kereta.

“Tidak lama kemudian suspek kembali ke rumah dengan membawa botol minyak petrol lalu menyimbah petrol tersebut kearah kereta, pintu pagar dan dinding rumah sebelum bertindak membakarnya menggunakan pemetik api,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Poge berkata, abang dan adik ipar suspek yang cuba meleraikan keadaan ketika itu turut disimbah dengan minyak petrol dan terbakar akibat disambar api.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa telah mengalami kesan melecur pada bahagian badan, kepala dan kaki. Mangsa yang masing-masing berusia 26 dan 25 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Bau untuk menerima rawatan manakala suspek telah melarikan diri,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 327 dan 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan. – Bernama