40,000 ibu bersalin di Sarawak tahun depan akan dapat bantuan khas

0
13

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menghulurkan bantuan khas kepada sekitar 40,000 ibu yang bakal melahirkan anak mulai tahun hadapan bagi meringankan beban waktu mereka ‘berpantang’ atau di atas ‘amben’.

Bantuan ini, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentunya dapat membantu mereka terutama yang tidak mempunyai pendapatan tetap waktu cuti bersalin

“Ini waktunya mereka perlukan wang untuk membeli susu, lampin dan sebagainya dan saya akan umumkan bantuan khas kepada ibu yang bersalin pada hujung tahun,” katanya.

Beliau dijangka mengumumkan perkara itu pada pembentangan Bajet 2020 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak November depan..

Jelasnya, bantuan itu akan diberikan kepada semua ibu di negeri ini termasuk ibu yang bekerja, suri rumah dan yang memerlukan bantuan.

“Kita tak nak diskriminasi, termasuk yang bekerja sepenuh masa. Waktu amben, setidak-tidaknya ada bantuan terutama beli perkakas bayi,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Ibadah Korban N8 Satok anjuran Biro Agama PBB di Kompleks Sukan Satok di sini, hari ini.

“Kelak saya akan umumkan pada hujung tahun,’ katanya tanpa menghuraikan lanjut apabila ditanya pemberita tentang jumlah bantuan itu.

“Tahun ini saya akan umumkan bantuan khas kepada semua ibu yang melahirkan anak. Kita mengganggarkan 40,000 ibu akan menerima bantuan ini berdasarkan purata kelahiran 40,000 setahun di Sarawak.

Kerajaan Negeri memberi Endowment Fund Sarawak (EFS) sebanyak RM1,000 kepada setiap bayi yang lahir di Sarawak tahun ini.