Thursday, September 29, 2022

Khianat punca hutan gambut di Miri terbakar

Secara Rawak

MIRI: Khianat.

Itulah punca yang dipercayai menyebabkan hutan gambut di kawasan berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah di sini dipercayai terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, ini berdasarkan beberapa bukti penemuan di lokasi kebakaran.

“Kebakaran bermula dari kawasan tengah dan bukannya bermula daripada kawasan tepi jalan raya atau mana-mana akses,” katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, pasukan pemadaman juga menemui tombol pintu yang diikat dengan rumput kering bagi tujuan pembakaran di kawasan tanah Naim Development dan susulan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi tindakan selanjutnya.

Operasi pemadaman kebakaran di Lot 3709 (berhampiran Kompleks Kebajikan Hamidah) yang bermula 1 Ogos lalu masih diteruskan sehingga semalam melibatkan 32 anggota bomba termasuk bantuan daripada 11 pekerja Naim.

Beliau berkata, semalam bomba berusaha memadamkan kebakaran belukar yang berlaku di tepi jalan raya menuju ke Kuala Baram.

Jelasnya, dalam operasi semalam, pihak bomba berusaha memandamkan kebakaran belukar di tepi lebuh raya yang menuju ke Kuala Baram.

Sementara itu, Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), Jabatan Alam Sekitar yang direkodkan pada pukul 3.00 petang semalam menunjukkan Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan status kualiti udara tahap bahaya iaitu pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 390.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu bahawa satu stesen di SK Kuala Baram 2 mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat, manakala 11 stesen lagi di sekitar kawsan berkenaan menunjukkan bacaan sederhana.

“Stesen pemantauan kualiti udara di kawasan ILP Miri dan SK Kuala Baram 2 Sarawak menunjukkan peningkatan bacaan IPU ketara yang disebabkan oleh kebakaran di kawasan berkenaan. Peningkatan bacaan IPU lain-lain stesen diakibatkan oleh jerebu rentas sempadan yang berlaku di Kalimantan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru