Berlaku jerebu setempat di Miri

0
5
Jerebu di Mukah, semalam.

KUCHING: Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpangkalan di Singapura pada 9 Ogos lalu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-19, mengesan 93 titik panas di Kalimantan, dan empat titik panas di Sumatera, Indonesia, manakala dua lagi titik panas dikesan di Sibu dan satu di Mukah, Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan yang terjejas ke kawasan Barat Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan terbabit.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata situasi jerebu yang tinggi dicatatkan di Miri itu merupakan ‘jerebu setempat’ dan pemantauan bacaan IPU akan dilakukan secara berterusan.

“Walaupun bacaan IPU ini adalah sangat tinggi tetapi ia tidak memerlukan tindakan seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019 kerana keadaan bersifat sementara dan kualiti udara akan dipantau dalam masa 24 jam seterusnya,” katanya semalam seperti dipetik Bernama.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menggambarkan keadaan adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Gambar hiasan