KUCHING:  Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh sebuah rumah dalam satu kejadian rompakan di Batu 7 Jalan Matang di sini sekitar jam 4.50 pagi semalam.

Dalam kejadian itu  tiga ahli keluarga terbabit diikat lima lelaki terbabit sebelum melakukan rompakan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka  sedang tidur apabila dikejutkan dengan kehadiran kumpulan perompak terbabit.

Perompak mula-mula memasuki bilik anak pasangan berkenaan, seorang akauntan berusia 25 tahun, mengancam dengan parang, sebelum memaksa beliau ke dalam bilik ibu bapanya.

“Ketiga-tiga mangsa diikat dan kesemua suspek kemudian bertindak menyelongkar rumah tersebut untuk mencari barang-barang berharga,” katanya.

“Selang beberapa minit kemudian, kumpulan suspek beredar dari tempat kejadian dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta barang-barang berharga milik keluarga terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara barang yang dilaporkan hilang ialah koleksi barangan kemas, beg,  telefon bimbit dan wang tunai.

Jelasnya, mangsa tidak mengalami kecederaan dan mereka merungkaikan ikatan sebelum membuat laporan polis.

Katanya, mereka turut mendapatkan bantuan saudara-mara yang tinggal berdekatan sebaik sahaja kumpulan suspek beredar.