Ribut taufan rosakkan 98 rumah di Perlis

KANGAR: Khidmat Malaysia Pusat telah menerima laporan daripada Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Perlis dan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Pulau Pinang bahawa telah berlaku bencana ribut pada malam tadi yang mengakibatkan kerosakan harta awam dan perseorangan.

Dalam kejadian itu, ribut beserta hujan lebat melanda hampir kesemua tempat di negeri ini sehingga mengakibatkan kerosakan rumah, pokok tumbang dan kerosakan fizikal premis-premis perniagaan.

Angin bertiup kencang bermula kira-kira pukul 8 malam tadi dan hanya reda pada pukul 10.45 malam.

Menurut Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, di Perlis, Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Perlis, Abdul Hadi Hamid telah mula turun padang bersama-sama jentera di negeri itu yang terdiri daripada Jabatan Amal Negeri dan sukarelawan daripada seluruh Perlis.

“Sehingga kini dilaporkan bahawa Stesen KTM Arau dan beberapa buah sekolah telah mengalami kerosakan dan banyak pokok yang tumbang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Di Pulau Pinang, katanya, dilaporkan bahawa ribut melanda dan laporan awal yang diterima bahawa anggota Amal telah bersedia untuk melaksanakan tugas yang akan diarahkan.

Jelasnya, Pengarah Zon Utara, Bakeri Abdullah telah diarahkan untuk memantau perkembangan di Pulau, Pinang, Kedah dan Perlis.

“Sumbangan daripada semua pihak adalah sangat diperlukan,” katanya.

Sebanyak 98 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dengan yang paling teruk terjejas di kawasan Bintong, akibat ribut yang melanda negeri itu semalam.

Kawasan Bintong yang terjejas adalah di Surau Telok Jambu; Telok Jambu 3; Kampung (Kg.) Kechor; Bohor Inai 2; Abi 8; Kg. Nesam (Padang Kota); Abi Kubang Badak; Taman Dato Jaafar; Kg. Pdg Pauh; Batu Pahat 2 dan Wang Ulu.

Media turut melaporkan sebanyak 128 batang pokok tumbang di 98 lokasi di kawasan Seberang Perai akibat kejadian ribut yang melanda Pulau Pinang semalam.

Kejadian ribut itu juga telah mengakibatkan kerosakan bumbung lebih 200 rumah sekitar Seberang Perai.