Anda tentu ingin tahu bagaimana masyarakat Penan di pedalaman Sarawak berkomunikasi antara satu dengan lain?

Penan  terkenal sebagai masyarakat  yang gigih dan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan hutan.

“Hutan lebih sekadar tempat untuk berteduh tetapi sebagai pasar raya, taman tema,  dan farmasi bagi mereka di bandar,” kata Franklin George, seorang Penan yang berusia 27 tahun.

Franklin yang mempunyai lima adik-beradik kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Malaysia Sarawak.

Semua adik-beradiknya telah melanjutkan pelajaran hingga ke sekolah menengah dan kini bekerja di Miri.

“Hutan perlu dihormati, dijaga dan dilindungi kerana orang Penan bergantung hidup kepada hutan,” katanya.

Penan di Baram berkomunikasi dengan cara mereka sendiri ketika belum ada alat komunikasi moden.

Dari dahulu hingga sekarang, mereka menggunakan bahan-bahan di hutan sebagai alat komunikasi.

“Bahan-bahan yang digunakan termasuk daun, ranting, kulit pokok, anak pokok, dan akar,” jelas beliau.

Ini kerana,  katanya, itu saja cara terbaik dan paling berkesan untuk menyampaikan pesanan kepada pihak atau kumpulan berkenaan.

Penan banyak bergerak di dalam hutan untuk mengumpul hasil hutan seperti buah-buahan, makanan,

Setiap tanda yang digunakan mempunyai makna yang tersendiri dan mesej berkenaan dapat difahami kerana ia sudah diamalkan sejak turun-temurun.

Misalnya,  jelas beliau, ketika berlaku kematian dalam sebuah keluarga, dua cara digunakan bergantung kepada jantina.

“Jika yang meninggal dunia itu lelaki maka, mereka akan menggunakan penyepit kayu api manakala jika perempuan yang meninggal, bahan yang digunakan ialah penyepit untuk makan  linut atau nao dalam bahasa Penan,” ujar Franklin.

Untuk tesis sarjananya beliau akan membuat kajian tentang tanda atau lambang yang digunakan oleh masyarakat Penan. Ini merupakan kajian pertama seumpamanya pernah dilakukan.

Mayat si mati biasanya disimpan selama satu atau dua hari, bergantung kepada berapa ramai kaum keluarga datang mengunjungi keluarga si mati.

Mayat ditanam tidak jauh dari pondok dan selepas kematian itu mereka lazimnya akan pindah ke tempat lain.

Untuk menyatakan keadaan bahaya seperti terdapat sarang tabuan, kaum Penan akan menggunakan halia liar yang dipatahkan dan ia kemudiannya diletakkan pada batang oro yang dipacak.

Selain sarang tabuan, ancaman lain yang dihadapi oleh masyarakat Penan di dalam hutan ia haiwan liar yang buas, termasuk ular. Untuk memberitahu terdapatnya ular bisa di kawasan terbabit, Franklin menjelaskan orang Penan menggunakan tumbuhan berlingkar.

Untuk memberitahu terdapat dahan yang sudah mati dan dapat mengundang bahaya, orang Penan menggunakan kayu yang sudah mati untuk diletakkan pada batang oro.

“Mereka akan lingkarkan tumbuhan seperti akar di batang oro. Batang oro itu diletakkan di laluan untuk memudahkan mereka yang lalu-lalang,” jelasnya Franklin yang berasal dari Kampung Long Kerong, Baram.

Kampung tempat beliau lahir mempunyai lebih kurang 80 orang Penan, sebahagian besar mereka masih lagi bekerja sebagai petani yang menanam padi huma. Mereka tidak lagi berpindah-randah sejak 1980-an.

“Bagi menyampaikan pesanan bahawa terdapat orang sakit, orang Penan menggunakan ranting muda yang dikikis diletakkan di batang oro,’ katanya.

Ketika orang Penan belum terdedah kepada perubatan moden, mereka menggunakan akar kayu, daun, dan tumbuh-tumbuhan lain untuk mengubati penyakit.

Franklin berkata, beliau berminat untuk menjalankan kajian tentang kearifan lokal kerana amalan tersebut kurang diamalkan dan difahami oleh generasi baharu dalam masyarakat Penan.

“Saya berharap daripada kajian itu nanti, amalan ini terus dapat dipelihara kerana keunikannya. Tentu amat merugikan dan dikesali jika amalan sedemikian sudah luput daripada memori kolektif masyarakat Penan sendiri,” jelasnya lagi.