KUCHING: Kompleks Muzium Sarawak dan Projek Heritage Trail merupakan antara projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibahagikan kepada dua peringkat.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Suria Bujang, peringkat pertama membabitkan pembinaan dua bangunan baharu, Muzium Sarawak untuk pameran tetap dan bangunan Annex untuk ruang penyimpanan artifak dan koleksi, makmal konservasi dan pejabat kakitangan Jabatan Muzium Sarawak.

Jelasnya, peringkat kedua melibatkan penambahbaikan bangunan Muzium Sarawak yang lama.

Katanya, dengan tema ;meraikan kepelbagaian budaya, muzium baharu mempunyai galeri lima tingkat.

“Kesemua galeri akan mempamerkan sebahagian besar artifak Jabatan Muzium Sarawak yang mempunyai piawian antarabangsa,” katanya.

“Bangunan baharu ini menjadi ruangan penyimpanan artifak atau koleksi muzium, selain makmal khas yang dibina bagi tujuan pemuliharaan koleksi-koleksi berkenaan,” jelasnya.

Ujar Suria, ia akan dijadikan sebagai tempat untuk masyarakat berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan mengenai budaya dan warisan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, terutamanya di Sarawak.

Pengisian pameran dijangka mengambil masa setahun sebelum dibuka kepada pengunjung  pada 2020.

Sementara itu, Kabinet telah meluluskan Peraturan Warisan Budaya Sarawak (Pengurusan dan Kawalan Muzium Sarawak), menjadikannya peranan dan tanggungjawab baharu Jabatan Muzium Sarawak lebih luas.

Kata Suria, peraturan baharu itu memberi kuasa penuh kepada pengarah untuk mentadbir Kompleks muzium Sarawak.

Pemerhati berkata, pelbagai artifak menarik, unik dan bersejarah yang dipamerkan di pelbagai galeri itu nanti, dijangka mampu menarik pengunjung dan pelancong.