Wednesday, December 7, 2022

Baiki rumah: Penduduk Dayak, Melayu di Tanjung Datu terima bantuan

Secara Rawak

LUNDU: Keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat diteruskan menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Anu mengucapkan berterima kasih kepada rakyat yang selama ini terus memberikan sokongan yang tidak berbelah kepada Kerajaan Sarawak.

“Dengan sokongan yang diberikan rakyat kepada Kerajaan Sarawak, kita akan terus membantu dan membela nasib rakyat seperti yang dilakukan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata pada Program Pemasangan Papan Tanda Rumah Baik Pulih PPRMS Tanjong Dato di sini, semalam.

Pada program itu, Datuk Amar Hajah Jamilah telah mengunjungi dan meninjau empat buah rumah yang terlibat dalam PPRMS di Kampung Stunggang Melayu, Kampung Dagang, Kampung Sileng Dayak dan Kampung Tabuan Dayak.

PPRMS adalah salah satu inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak dalam membantu baik pulih rumah rakyat.

Bagi Awang Sebi Awang Lorin, salah seorang penerima bantuan PPRMS dari Kampung Stunggang Melayu  di sini berkata beliau berasa terharu dengan bantuan daripada Kerajaan Sarawak dan akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Sarawak.

“Saya tetap tidak ada menyokong parti lain di mana sejak dahulu lagi saya menyokong Barisan Nasional hingga Gabungan Parti Sarawak,” katanya.

Beliau telah menerima bantuan baik pulih dapur dan tiang tandas di dalam PPRMS ini.

Selain Awang Sebi, tiga lagi penerima PPRMS ialah Esot Brahim dari Kampung Dagang yang menerima bantuan baik pulih tandas dan dapur, Melvin ak Menggau dari Kampung Sileng Dayak mendapat bantuan baik pulih atap dan dinding dan Jufrisa Emy dari Kampung Tabuan Dayak yang menerima bantuan PPRMS berupa baik pulih dinding dapur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru