MIRI: Polis sudah mengenal pasti identiti pengirim dan penerima kotak yang tertera ancaman bom ‘jangan campak, ada bom di dalam.’

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, pihaknya akan merakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, apa juga alasan pihak tersebut, menulis sesuatu yang menggugat keamanan dan ketenteraan adalah satu kesalahan.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai kalau hantar barang dan elak barang itu rosak atau pecah ada cara yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan.

“Perkara ini (ancaman bom) sangat sensitif dan tidak boleh tulis benda-benda yang mengancam ketenteraman orang,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Bungkusan yang tertera ayat ancaman bom diterima dari kargo sebuah pesawat yang mendarat di Miri pada malam Khamis.

Difahamkan ahli perniagaan yang menghantar bungkusan dengan tulisan berkenaan sebenarnya terlalu kecewa kerana barang yang dihantar beliau sering rosak dan patah.

Dengan tulisan berkenaan di luar bungkusan, dia berharap pengendali  bungkusan yang dihantarnya lebih berhati-hati ketika memunggahkannya dari pesawat.

Namun tindakannya itu bukan sahaja menimbulkan kekecohan di pihak kargo Lapangan Terbang Miri yang  tidak mengambil mudah tulisan sedemikian.