Monday, September 26, 2022

Premis bahan sejuk beku di Miri curi elektrik

Secara Rawak

MIRI: Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  berjaya mengesan kes kecurian elektrik di sebuah premis penyimpanan bahan sejuk beku di Kuala Baram baru-baru ini.

Penggeledahan dilakukan selepas waran untuk menggeledah dikeluarkan Mahkamah Majistret  untuk mengakses premis tersebut yang dipercayai mencuri elektrik berdasarkan pengawasan bulanan yang dijalankan dan maklumat orang awam.

Jurucakap Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam satu kenyataan berkata, sebaik sahaja pemeriksaan dijalankan di premis itu, didapati meter elektrik telah diusik yang menyebabkan bacaan kurang daripada penggunaan biasa.

Jelas SEB, meter yang telah diusik itu dirampas untuk bukti kes dan digantikan dengan meter baharu.

Premis berkenaan mencurigakan kerana mencuri elektrik berikutan pengawasan secara bulanan dilakukan.

“Beberapa unit kontena kargo sejuk beku dijumpai di premis tersebut yang beroperasi 24 jam. Analisis rekod bil menunjukkan penggunaan elektrik premis itu tidak munasabah dan rendah, “ kata jurucakap SEB.

Jelasnya, bacaan meter elektrik  dalam operasi itu menganggarkan kos sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan yang mana mungkin akan lebih tinggi ketika musim perayaan kerana lebih banyak penyimpanan sejuk beku digunakan.

“SEB akan terus memantau penggunaan elektrik di premis berkenaan bagi mengekang sebarang cubaan untuk mencuri elektrik,” katanya.

Laporan polis telah dibuat dan pemilik premis akan dipanggil untuk membantu siasatan bagi kes curi elektrik.

Gambar hiasan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru