KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia telah melancarkan petisyen untuk membantah caj perkhidmatan penumpang (PSC) tambahan RM23  untuk penumpang yang melakukan perjalanan di luar ASEAN daripada RM50 hingga RM73 seorang.

Pada waktu berita ini ditulis, petisyen itu, yang dilancarkan tengah malam tadi (ia bermula tujuh hari lepas sebagai draf) telah memperoleh 26,870 tandatangan.

“Kami membantah kenaikan ini dengan tidak mengutip caj tambahan  RM23 itu daripada pelanggan,” kata syarikat penerbangan itu dalam petisyen berkenaan seperti dilapor Bernama.

AirAsia  berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC yang sama seperti di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ) yang lebih lengkap dan mewah.

Syarikat penerbangan itu berkata PSC tinggi adalah beban yang tidak adil kepada pengguna.

“PSC sentiasa lebih rendah di klia2, sehingga tahun 2018 apabila kadar itu meningkat dan disamakan atas sebab yang tidak diketahui.

“Kami percaya PSC yang tinggi akan menjejaskan pelancongan, menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pengunjung berbanding dengan destinasi lain,” kata AirAsia.

Untuk rekod,  caj yang dibayar oleh penumpang di klia2 untuk penerbangan ke destinasi di luar ASEAN telah meningkat dua kali ganda sejak 2016.

Sehingga 31 Dis 2016, PSC dikenakan adalah RM32 seorang, tetapi bermula dari 1 Jan 2017, kadar itu dinaikkan kepada RM50 seorang.

Mulai 1 Julai tahun lepas, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengenakan PSC lebih tinggi iaitu RM73 seorang.

Di sebalik arahan itu, Bernama berkata, AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua, dengan mengatakan ia percaya kenaikan PSC itu ‘tidak munasabah’.