KUCHING: Sesuatu yang tidak baik.

Itulah pendirian Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak mengenai cukai pelepasan.

Malah,  beliau tidak begitu gembira dengan cukai pelepasan.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat cukai itu dapat menjejaskan Kempen Melawat Malaysia 2020.

“Saya tidak begitu gembira terhadap pelaksanaan cukai pelepasan ini yang akan bermula 1 September nanti,” katanya.

“Masa bagi saya juga tidak tepat kerana kita baharu sahaja melancarkan tahun melawat Malaysia 2020 kemudian mereka tampil memperkenalkan cukai baharu ia bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan pelancongan kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak 2019 di sini hari ini.

Kadar bayaran cukai bagi negara-negara ASEAN untuk mereka yang menggunakan penerbangan kelas ekonomi ialah RM8 manakala bukan kelas ekonomi RM50, manakala untuk bukan negara-negara ASEAN, bagi penerbangan menggunakan kelas ekonomi kadar dikenakan ialah RM20, dan bukan kelas ekonomi RM150.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan  harus merujuk perkara tersebut kepada kerajaan Sarawak dan Sabah.

“Kalau mereka hendak memperkenalkan cukai berkenana,  kerajaan negeri harus dimaklumkan terlebih dahulu,” katanya.

Beberapa pemegang taruh menggesa kerajaan menangguhkan penguatkuasaan cukai berkenaan selepas Tahun Melawat Malaysia 2020.