Bomba selamatkan bangunan Majlis Daerah Betong daripada musnah dijilat api

BETONG: Pasukan Bomba dan Penyelamat Betong berjaya menyelamatkan bangunan Majlis Daerah Betong (MDB) yang terletak di Jalan Datuk Basil Temenggong di sini yang mengalami kebakaran pada bahagian bumbung pagi tadi.

Kebakaran berlaku apabila pecikan api daripada mesin pemotong besi yang digunakan pekerja untuk melakukan gantian atap terkena lapisan fiber yang kemudiannya menyebabkan api marak pada bahagian lapisan atap tersebut.

Balai Bomba Betong menerima panggilan kecemasan jam 8. 32 pagi dan kemudiannya bergerak ke lokasi bersama beberapa aset bomba untuk tujuan bantuan dan pemadaman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, PPgB Vincent Baling anak Yabi memberitahu, kebakaran melibatkan lapisan fiber bumbung dan bahagian ‘roof truss’ akibat daripada pemotongan bumbung dengan menggunakan ‘grinder’ untuk kerja – kerja penggantian bumbung baru oleh pihak kontraktor.

” Ketika itu seramai tujuh orang dari Syarikat Regas Emas Enterprise sedang bekerja. Namun kebakaran tersebut tidak menjejaskan struktur bangunan.

“Luas kawasan yang terjejas akibat kebakaran adalah 75.24 meter persegi. Manakala anggaran keluasan bangunan adalah 964 meter persegi. Bangunan pejabat dua tingkat jenis kekal itu menempatkan seramai 31 orang pekerja dengan pecahan 17 lelaki dan 14 orang perempuan ketika kejadian.

“Pasukan bomba dengan kekuatan anggota seramai 8 orang telah membuat kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan 1 aliran sejauh 100 kaki, 2 nozel dan 1 salur bantu mula.

“Api dapat dikawal pada jam 8. 48 dan dipadam sepenuhnya pada jam 9. 55 pagi, ” ujarnya.

Tiada kemalangan jiwa ataupun kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.