Ada apa dengan dengan pengunjung Tebingan Kuching?

Di sebalik  Kuching muncul sebagai sebuah bandar yang sihat dan bebas tekanan, bandar raya ini juga berdepan dengan pengunjung dan warga yang tidak punya sikap yang betul dari segi pembuangan sampah.

Walaupun dikenali sebagai salah sebuah bandar raya terbersih di negara ini, namun disebabkan tabiat membuang sampah merata-rata oleh warga kota dan pengunjungnya, menjadikan Kuching masih mengalami masalah dari segi kebersihan.

Ini termasuk di Tebingan Kuching terutama selepas sesuatu acara besar dan selepas sesi pertunjukan air pancut berakhir.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai mengakui semalam bahawa Tebingan Kuching merupakan antara kawasan paling bermasalah berkaitan isu sampah.

Sebab, pengunjungnya tidak punya disiplin dari segi pembuangan sampah.

Mereka membuang sampah sesuka hati.

DBKU akan mengambil alih pengurusan Tebingan Kucing daripada SEDC mulai Januari depan.

“Sebaik saja pertunjukan air pancut berakhir, anda akan dapat lihat begitu banyak sampah bersepah,” katanya.

Apa masalah pengunjung Waterfront? Ya, apa masalah rakyat kita, termasuk warga Kuching?

Jangan salahkan hanya pendatang asing, kerana pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat,  Jepun atau Korea terutamanya tidak akan membuang sampah sesuka hati.

Mentaliti kelas rendah, mentaliti sampah, atau memang sebahagian mereka tak punya nilai kebersihan?

Mentaliti masyarakat yang menganggap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan kerja pembersihan selepas selesai sesuatu acara menyebabkan sampah dibuang sesuka hati.

Tak mengapa buang sampah sebab tak ada orang tengok. Buang saja sampah kerana tidak akan dikenakan hukuman.

Inilah masalahnya. Buang sampah tak apa, kerana akan ada orang lain yang menjadi kuli mereka untuk mengutip sampah yang dibuang mereka. Mereka berlagak boss dan orang lain kuli mereka.

Perangai dan tabiat buruk itu menyebabkan pelbagai usaha serta program kesedaran dilakukan DBKU kurang berjaya. Ya, selagi, ada rakyat memiliki mentaliti kelas tiga.

Jangan serahkan tanggungjawab jaga kebersihan kepada pihak berkuasa, termasuk DBKU. Tugas itu terletak di bahu setiap orang, termasuk warga bandar raya dan pelancong.

Usaha menjaga kebersihan bandar raya mesti dipikul bersama komuniti setempat bukan di bahu PBT semata-mata.

“Kita (DBKU) telah mengadakan macam-macam usaha tetapi disebabkan tabiat masyarakat kita yang suka membuang sampah merata-merata terutama ketika keramaian menggagalkan semua ini,” kata Datuk Bandar berkenaan seperti dipetik media suatu ketika dahulu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perbuatan membuang sampah merata-rata semasa Majlis Perasmian Air Pancut Berirama Darul Hana Oktober 2018 menyebabkan persekitaran Tebingan Kuching, kotor.

“Oleh itu tindakan menularkan perbuatan membuang sampah merata-rata oleh masyarakat pada malam perasmian Air Pancut Berirama Darul Hana suatu yang dialu-alukan,” katanya.

Ini perbuatan yang bukan saja tidak bermoral  tetapi tidak bertanggungjawab.

Isu disiplin ini merujuk kepada sikap segelintir rakyat yang “ceridak”, yang meninggalkan kotoran selepas sesuatu majlis keramaian perlu dikritik.