Beberapa siri pertemuan antara Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dengan parti pembangkang termasuk GPS sedikit sebanyak telah menzahirkan ketidakselesaan PH di Sarawak.

Terbaru, pertemuan orang kuat serta dipercayai Tun Mahathir iaitu Tun Daim Zainuddin bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari sedikit sebanyak telah menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada rakyat Sarawak terutama para penyokong PH di Sarawak.

Namun begitu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa pertemuan dengan Tun Daim tidak menyentuh isu politik. Ketua Menteri menegaskan bahawa pertemuan tersebut hanya membincangkan perkara berkaitan dengan ekonomi.

Memetik apa yang diperkatakan oleh Ketua Menteri bahawa Tun Daim amat kagum dengan kerajaan Sarawak dalam menguruskan ekonomi negeri. Pertemuan itu diberi pelbagai tafsiran di sebalik pertemuan GPS dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Selasa minggu lepas.

Dalam situasi politik negara seperti sekarang, percaturan politik parti-parti politik dalam negara kita menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat. Pergolakkan dalam PKR yang merupakan parti dominan dalam kerajaan PH menyebabkan kerajaan sekarang kelihatan rapuh. Polemik peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi isu duri dalam daging yang boleh merobohkan gabungan PH.

Pergolakkan yang berlaku diantara Presiden dan Timbalan Presiden PKR ini telah mencalarkan imej kerajaan baharu PH. Plot drama berkaitan video lucah masih lagi diselubungi teka-teki dan belum berakhir yang telah disahkan asli namun pelakonnya belum dapat disahkan lagi. Menariknya, perkembangan politik dalam PKR kebelakangan ini banyak berkaitan dengan video hanyir tersebut.

Polemik ini telah menyebabkan PKR kini dalam keadaan goyah kerana wujud resolusi sokongan kepada Presiden dalam kalangan ahli PKR termasuk di Sarawak. Secara tidak langsung naratif politik ini menjejaskan PH termasuk PH di Sarawak yang perlu bersedia untuk menempuh PRN ke – 12 nanti.

Ketua DAP Sarawak yang juga Timbalan Menteri, YB Chong Chien Jen kelihatan gelisah dengan perkembangan siri perjumpaan Tun Mahathir dengan parti pembangkang termasuk GPS. Ini kerana sebarang kerjasama politik boleh terbentuk di antara parti Tun Mahathir dengan UMNO, PAS, GPS dan kumpulan yang menyokong Azmin Ali demi kelestarian pemerintahan negara.

Perkembangan politik di semenanjung Malaysia yang jelas makin meruncing menunjukkan tiada kesepakatan yang utuh dalam kalangan pemimpin PH boleh menyebabkan gabungan itu berpecah. Semua perkara boleh berlaku dalam politik. Hari ini sebagai kawan mungkin esok sebagai lawan dan sebaliknya.

Perkara seperti ini menyebabkan PH di Sarawak tidak keruan dalam proses persediaan menempuh PRN ke – 12 nanti.  PKR yang merupakan parti komponen yang menyumbang kerusi paling banyak dalam gabungan PH juga kelihatan semakin goyah dengan perbalahan diantara Presiden dan Timbalan Presiden.

Krisis di antara Presiden dan Timbalan Presiden PKR ini dikeruhkan lagi dengan video hanyir yang masih dalam siasatan lagi. Perbalahan ini ternyata tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada PH yang memimpin negara. Persoalannya, adakah perkembangan tidak sihat dalam PKR ini akan melahirkan bibit-bibit perpecahan dalam PKR khasnya dan PH amnya?

Ironinya, impian PH Sarawak yang ingin menawan bumi kenyalang pada PRN ke – 12 yang bakal diadakan paling awal hujung tahun depan dan paling lambat pertengahan tahun 2021 pasti terkesan dengan perkembangan politik yang berlaku dalam PH.

Polemik ini merupakan rentetan daripada proses peralihan kuasa Perdana Menteri yang kini heboh dalam kalangan pemimpin serta penyokong PH itu sendiri. Polemik peralihan kuasa ini sekiranya berlarutan boleh menyebabkan PH berpecah. Sekiranya perpecahan berlaku dalam PH, ia pasti memberikan impak besar kepada PH Sarawak yang bakal menempuh PRN ke -12.

Jelas, perkembangan politik terkini di negara kita menyebabkan PH di Sarawak tidak keruan. Apa-apa boleh berlaku dalam politik. Isu video hanyir dan peralihan kuasa Perdana Menteri perlu di selesaikan dengan sebaik-baiknya.

Ini penting untuk memastikan keharmonian serta keutuhan hubungan di antara parti-parti komponen dalam PH dapat di eratkan lagi. Tuntasnya, di negeri bumi kenyalang, kerajaan negeri Sarawak yang dipimpin oleh GPS terus gah menyantuni rakyat Sarawak.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.