Tuesday, June 28, 2022

Nanas dari Miri bakal dieksport ke luar negara

Secara Rawak

MIRI: Miri berpotensi menjadi pengeluar dan pengeksport nanas seperti Nanas MD2 yang berkualiti tinggi dan mempunyai pasaran yang luas di luar negara.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Miri mempunyai sumber semula jadi yang diperlukan dalam penanaman nanas.

“Miri mempunyai faktor tanah yang luas, tenaga kerja yang ramai dan lokaliti penanaman nanas yang banyak.

“Faktor-faktor ini perlu diterokai dalam menjadikan Miri sebagai kawasan pengeluar dan pengeksport nanas di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Ladang Nanas Senadin di sini, semalam.

Ladang Nanas Senadin berkeluasan 100 ekar dan menanam sebanyak 240,000 benih nanas MD2 pada tahun lepas.

Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak menegaskan kualiti nanas perlu diberikan perhatian dengan mencapai standard Kementerian Pertanian sebelum dapat dieksport ke luar negara.

“Nanas MD2 ini merupakan sepesis nanas yang terkenal di dunia dan mempunyai pasaran yang luas di negara-negara Eropah.

“Sebelum dieksport, nanas ini perlu mencapai standard dari Kementerian Pertanian khususnya dari segi kebersihan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa petani mengaplikasi penggunaan teknologi dalam penanaman nanas supaya dapat mengurangkan kos pengeluaran selain meningkatkan kualiti nanas.

Menurutnya lagi, Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian berusaha gigih dalam menggalakkan lebih ramai petani yang berpotensi menceburi secara aktif dalam sektor pengeluaran buah-buahan di negeri ini.

“Ini adalah selaras dengan impian dan hasrat Ketua Menteri agar Sarawak dapat menjadi pengeksport buah-buahan terbesar menjelang tahun 2030,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Yang Berhormat Datuk Lee Kim Shin dan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pertanian Bersatu Timur Berhad Jong Tze Khiun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru