Perubahan sosial merujuk kepada perubahan  mekanisme dalam struktur sosial. Perubahan ini menunjukkan dinamika sosial dan proses evolusi  yang merujuk apa-apa perubahan paradigma, berfikir, cara bekerja, gagasan dan perspektif yang mempengaruhi berlakunya perubahan struktur ekonomi dan sosial daripada tradisi kepada modeniti.

Terdapat pelbagai idea mengenai perubahan sosial, misalnya dari segi Marxisme perubahan itu dilihat sebagai  tidak dapat dielakkan apabila sejarah kemanusiaan itu tidak terlepas daripada perjuangan dan konflik kelas dalam masyarakat. Terdapat juga perubahan sosial yang membawa kepada gerakan kebebasan, melawan penindasan hingga kepada gerakan  hak asasi manusia.

Sumber perubahan terpenting  datangnya dari sumber dari dalaman itu sendiri atau dikenali sebagai sumber internal berasaskan  masyarakat itu sendiri atau gabungan perubahan yang signifikan dalam konteks organisasi atau struktur itu sendiri.  Yang penting perubahan wujud akibat daripada inovasi teknologi.

Perubahan

Dalam konteks negeri Sarawak teknologi dan internet  telah mentranformasikan Sarawak ke arah negeri yang lebih celik teknologi maklumat. Bukan sahaja penduduk di bandar dan pinggir bandar merasai nikmat teknologi, sebaliknya penduduk luar bandar turut berasa bahang teknologi termasuk  Bario sebuah kawasan di pedalaman Sarawak. Sudah ada projek E-Bario yang membolehkan penduduk Bario berhubung dengan dunia luar melalui internet.

Perubahan teknologi maklumat  membolehkan perubahan hidup keluarga secara individu, di tempat tinggal, keluarga, tempat  bekerja hingga di sekolah. Kemudahan di luar bandar dan bandar memberikan kesan perubahan teknologi  yang mengubah kehidupan masyarakat di Sarawak.

Selangkah dengan itu, Sarawak memperkenalkan ‘Sarawak Pay’ satu bentuk e-wallet  bagi memudahkan pembayaran dan pemindahan wang secara digital untuk kegunaan pelbagai  seperti pembayaran bil dan utili di negeri tersebut.

Agenda mentransformasikan ekonomi negeri kepada ekonomi digital, seiring dengan trend global semasa. Usaha ini sejajar dengan  usaha kerajaan yang mengadakan pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan. Tujuannya adalah untuk memastikan Sarawak mampu beralih ke ekonomi digital meliputi bidang pertanian, perniagaan, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan kerajaan.  Setakat ini, Sarawak Pay mempunyai 100,000 pengguna dan seramai 6,000 peniaga berdaftar.

Namun begitu tidak dinafikan juga tidak semua dapat menikmati perubahan teknologi dan sosial ini. Kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching,  terdapat lebih 1,000 penduduk di lima buah kampung di Penrinssen masih belum menikmati kemudahan telefon mudah alih kerana tiada liputan perkhidmatan.  Ini termasuklah Kampung Semadang serta empat buah kampung dalam Skim Penempatan Semula Bengoh iaitu Kampung Taba Sait, Pian Bojong, Semban dan Rejoi. Kemudahan Internet di kawasan tersebut sangat perlahan dan  menjadinya usaha membentuk sebagai warga digital tergendala.

Perubahan Teknologi

Bagi tujuan kemudahan telekomunikasi   Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pernah mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi tujuan tersebut di seluruh Sarawak.  Kemudahan internet penting bagi membentuk masyarakat bermaklumat hasil daripada teknologi maklumat yang mampu mempercepatkan urusan dan pengetahuan semasa.

Perubahan teknologi memudahkan penggunaan perkhidmatan Sarawak Pay,  penggunaan waze, menempah kereta secara e-Hailing, menempah Food Panda,  menonton Youtube untuk pembelajaran dan pengetahuan semasa, memanfaatkan Whatsapp atau Telegram, berkomunikasi melalui Facebook, twitter dan  Instagram. Sudah pasti ini memerlukan agenda dan pelan pembangunan yang panjang dan terancang.

Politik Pembangunan

Sebenarnya kerajaan Negeri Sarawak sudah lama menyedari keperluan untuk menjadi sebuah negeri yang membangun dengan pesat. Keluasan Sarawak hampir menyamai Semenanjung Malaysia dan ini bermakna dari segi geografi Sarawak pembangunan Sarawak sukar ditangani dengan saiz yang sangat besar. Peruntukan pembangunan oleh kerajaan di Putrajaya pula berasaskan jumlah penduduk dan bukannya berdasarkan jumlah saiz keluasan. Ini bermakna Kerajaan Negeri Sarawak  perlu mempunyai strategi dan ideologi pembangunan.

Sarawak memperkenalkan konsep politik pembangunan, iaitu menggunakan perluasan permahaman mengenai demokrasi dan menyebarkan ideologi demokrasi  dan politik untuk pembangunan. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana sejak tahun 1960-an ideologi politik pembangunan sudah lama wujud dalam kalangan negara-negara membangun. Ini bermakna perpaduan politik penting bagi membangunkan negeri Sarawak.

Penglibatan rakyat dalam politik akan dapat membantu memilih pemimpin dan parti politik yang dapat membawa kepada pembangunan, mempengaruhi dasar  yang bakal digubal kerajaan. Hal ini seterusnya akan membawa perubahan birokrasi dari segi ekonomi, politik dan sosial negeri Sarawak. Meskipun terdapat kritikan bahawa ia berakhir kepada pembentukan elit politik daripada pemodenan yang benar-benar dikehendaki sekurang-kurang perubahan teras tradisi mulai berubah dari semasa ke semasa mengikut  perubahan zaman.

Seterusnya reaksi terhadap  ketaksamaan juga membawa kepada  perjuangan sistem ekonomi, reformasi dan pembaharuan kebudayaan, sosial dan politik yang lebih adil sehingga wujudnya Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan kewujudan hak istimewa masyarakat Melayu dan bumiputera termasuk dari segi undang-undang Tanah Adat Negeri.   Demikian perkembangan masyarakat dan perubahan sosial dalam konteks Sarawak dapat dilihat daripada perspektif faktor dinamika dalaman masyarakat itu sendiri.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.