Tuesday, September 27, 2022

Lim Kit Siang pun mempelajari dan menguasai Jawi

Secara Rawak

KUCHING: Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata hari ini beliau sendiri pernah mempelajari Jawi namun ia sama sekali tidak mengurangkan identiti Cina dalam dirinya.

Menerusi muat naik dalam blognya pagi ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau mempelajari Jawi ketika kali pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1969.

“Mungkin persoalan timbul adakah mereka yang mempelajari tulisan Jawi akan mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina? Bagi saya jawapannya ialah negatif,’ katanya.

“Ketika saya kali pertama ditahan di bawah ISA pada tahun 1969, saya mengajar diri saya tentang tulisan Jawi sewaktu dalam tahanan.

“Ia tidak membuatkan saya kurang Cina, dan mungkin telah membantu menjadikan saya lebih rakyat Malaysia,” katanya dalam blog blog.limkitsiang.com.

Kenyataan Lim dikeluarkan sehari sebelum mesyuarat dalam kalangan pemimpin DAP diadakan bagi membincangkan isu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ahli Dewan Undangan Negerinya menggesa menteri Kabinet yang mewakili parti itu supaya membantah rancangan tersebut.

Selain DAP, dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) juga membantah langkah berkenaan.

Kit Siang berkata, orang ramai tidak harus melihat langkah ini sebagai satu asimilasi budaya kerana ia usaha untuk memperkenalkan warisan dan identiti negara kepada pelajar.

“Saya mengaku sebelum ini saya tidak menyedari kewujudan tulisan jawi pada wang ringgit. Selepas menyedari perkara ini, saya melihat kepada wang rupee India dan menyedari ia bukan saja mempunyai skrip rasmi bahasa Hindi, tetapi juga bahasa daerah seperti Tamil, Telegu, Marathi, Urdu, Malayalam, Gujarati, Bengali, Punjabi dan Kannada.”

Kata beliau lagi, Malaysia kelihatan terperangkap dalam keadaan luar biasa yang menyaksikan semua kumpulan etnik berasa tergugat dan setiap komuniti terdorong untuk mempercayai bahawa kebudayaan dan keetnikan masing-masing berhadapan ancaman kepupusan.

Namun kelmarin, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.
Semalam pula, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi komitmen meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru