JUMAAT lalu ialah hari terakhir saya berada secara rasmi di kampus Universiti Malaysia Sarawak. Saya bersara secara rasmi pada hari ini. Beberapa bulan, malah dua tiga tahun sebelum tarikh dan saat itu tiba, banyak persoalan bermain dalam kepala saya. Ya, bagaimana saya bakal menghadapi saat dan detik itu.

Bersara bagi sebahagian orang sesuatu yang menggembirakan, manakala bagi yang lain, detik menyedihkan. Bagaimana pula emosi saya menjelang hari-hari terakhir sebelum tarikh perkhidmatan saya dengan universiti yang amat saya sayangi itu berakhir?

Amvibalen. Itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan emosi yang bergelora. Maksudnya, antara gembira dengan sedih, tetapi terus terang bagi saya, rasa sedih lebih menguasai diri saya. Malah, saya sempat menitiskan air mata ketika saya mengetik kata-kata akhir untuk Dekan dan Naib Canselor saya.

Dalam e-mel kepada mereka, saya nyatakan penghargaan kepada mereka dan universiti yang telah banyak memberi peluang kepada saya untuk maju bukan sahaja dalam kerjaya, tetapi melakar nama sehingga saya dikenali sebagai penulis, sarjana, dan penganalisis politik. Sesungguhnya, selepas bekerja di tiga tempat berbeza, saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa, universiti ialah tempat terbaik dan paling saya senangi. Ya, mungkin bagi mereka yang minat kepada ilmu, menyelidik, membaca, menulis dan menyampaikan ilmu.

Kepada Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi saya menulis: “Saya telah berkhidmat dengan Unimas selama 19 tahun dan setiap detik begitu bermakna dan membahagiakan bagi saya.” Beliau menjawab, antara lain, “continue being yourself and being awesome.”

Kepada Dekan saya di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor  Ambigapathy Pandian saya lakarkan: “Seikhlasnya saya nyatakan bahawa saya amat bahagia di sini dan berasa amat sedih meninggalkan universiti yang telah banyak membina peribadi dan memberi peluang  kepada saya untuk melakar kejayaan dalam kerjaya saya.”

Kepada bekas Dekan saya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat saya menyatakan begini: “Menjelang hari-hari terakhir di kampus ini saya terjebak antara rasa sedih dan bahagia, tetapi terus terang lebih dikuasai rasa pilu kerana Unimas  banyak berjasa kepada saya.”

Saya mulai menyertai Unimas pada 2 Januari 2000 selepas menamatkan pengajian Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum itu, saya telah kehilangan pekerjaan sebagai Editor Eksekutif sebuah akhbar tempatan pada Ogos 1998 ketika politik negara dan negeri bergelora. Pengajaran kisah sedih itu, bagi saya, ialah jangan mudah patah semangat, terus bangkit dan berusaha kerana sentiasa akan ada sinar di hujung terowong.

Selepas saya menjadi pensyarah di Unimas, saya tidak lagi menoleh ke belakang.

Unimas memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti Malaya dalam bidang komunikasi politik. Sebagai pensyarah, saya berpeluang mengajar pelbagai kursus yang menjadi kepakaran dan minat saya, melakukan penyelidikan dalam bidang media dan politik, dan hubungan etnik. Saya juga berpeluang membentangkan hasil penyelidikan saya di pelbagai persidangan di dalam dan di luar negeri hingga ke Universiti Oxford London dan China. Saya juga banyak diundang untuk mengongsikan buah fikiran dan pengalaman saya di pelbagai platform lain.

Setiap detik di universiti itu, memberi peluang kepada saya untuk menerokai, mengembangkan dan menyebarkan ilmu.

Ribuan pelajar telah mengikuti kuliah saya dalam tempoh hampir dua dekad. Jadi, apabila mereka mengetahui saya bersara, begitu ramai pelajar yang menghantar mesej dan kata-kata yang menyentuh perasaan saya dari petang Jumaat hingga petang semalam.

Mereka yang lama tidak menghubungi saya dari seluruh negara juga, telah menyampaikan ucapan “Selamat Bersara’ kepada saya, malah mengucapkan tahniah. Ya, itu berlaku selepas sahabat baik saya, Profesor Madya Dr Ahi Sarok mencatatkan sesuatu yang menyentuh hati melalui Facebooknya.

Hantaran beliau, yang kemudiannya dipetik Astro Awani sebagai bahan berita menjadi viral. Dalam catatan itu, teman yang sama-sama berjuang dengan saya di Universiti Malaya selama tiga tahun itu mengimbau detik pengenalan beliau, kepakaran dan pencapaian saya. Mereka dari Astro menghubungi saya, kerana seperti rakan-rakan saya yang lain, mereka menzahirkan rasa terkejut dan sedih. Sebagai penganalisis politik, saya sering ditampilkan secara langsung oleh Astro Awani serta media tempatan, nasional dan antarabangsa. Bagi saya, Astro turut membantu membina kerjaya saya.

Ya, setiap yang bermula tetap akan berakhir, dan detik itu telah pun tiba tanpa  dapat dielakkan. Saya seperti pesara lain, tentu perlu mengharungi perubahan dan penyesuaian dari segi psikologi, kewangan, dan sebagainya.

Banyak sarjana menyatakan, persaraan akan membawa banyak perubahan, antaranya pendapatan yang berkurangan, kehilangan amalan harian di pejabat, kehilangan interaksi dengan rakan sekerja, kehilangan status sosial, penghormatan, identiti dan kejayaan.

Ya, benarkah persaraan sebagai akhir sesuatu pekerjaan dan permulaan usia tua? Ada yang tidak dapat menerima realiti.

Sesungguhnya, menghadapi hari persaraan memerlukan persiapan mental dan emosi, serta kewangan.

Bekerja di universiti memberi kesempatan kepada saya untuk mengembangkan mimpi.

Saya ingin menjadi manusia bererti. Sepanjang mengejar impian dan cita-cita, nyala dan semangat saya dikentalkan oleh kemiskinan dan penderitaan masa kecil di kampung. Niat itu menjadi dorongan dan rangsangan kuat untuk saya terus maju. Segala macam kepahitan dan penderitaan ketika waktu kecil di kampung bagai dirawat dan diubati apabila saya mencapai sesuatu yang membanggakan dalam kehidupan dan kerjaya.

Minat yang membara terhadap ilmu dan pembacaan memungkinkan saya mengerahkan segala kemampuan terbaik saya, cinta saya, hati saya, bahkan saya sanggup menderita untuknya.

Akhirnya, semua ini memberi saya hikmah indah tak terkata, dalam menemukan erti dan makna kehidupan.

Sekolah kehidupan tak akan pernah tamat, dan bagi saya persaraan bukan bermakna berakhirnya perjalanan hidup saya.

Sebaliknya, kita tidak pernah akan tahu apa yang bakal terjadi esok hari dalam kehidupan kita. Tuhan yang merancang dan mengatur segalanya.