Apabila berlaku keretakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung Malaysia, maka timbullah kem  Azmin dan Anwar. Keretakan tersebut wujud akibat perbezaan pandangan, prinsip dan pendirian. Hal ini dapat dilihat dalam pemilihan partiPKR pada tahun lepas.

Namun lebih lama daripada itu,  Azmin dilihat berupaya menaikkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor, di sebalik usaha Langkah Kajang dilakukan oleh pimpinan PKR sebagai untuk menaikkan Wan Azizah  atau Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Di sinilah kerjaya politik Azmin melonjak daripada Menteri Besar kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Namun kumpulan kem Rafizi mendakwa bahawa  pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar dua penggal tidak melalui proses atau persetujuan parti. Begitu juga pelantikan Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi atas pelantikan terus daripada Tun Mahathir tanpa merujuk kepada kepimpinan PKR.

Terdapat perkhabaran bahawa Wan  Azizah ingin mencadangkan Rafizi sebagai Menteri Kewangan selepas kemenangan Pakatan Harapan, namun Tun Mahathir mempunyai pilihan beliau sendiri.

Begitu juga pelantikan Adun Dusun Tua, Amirudin Shari  yang dipilih sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Azmin. Nama Dr Idris Ahmad  pilihan presiden PKR dan disebut-sebut oleh media sebagai pilihan utama terpelanting daripada radar politik.

Apabila Rafizi  mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR untuk  melawan Azmin Ali ia dianggap pertandingan di antara Anwar dan Azmin  meskipun kedua-duanya cuba menafikan perkara tersebut.

Pertarungan Azmin dan Rafizi dilihat memecahkan lagi perpaduan PKR seolah-olah sudah wujud kem Azmin dan kem Rafizi. Meskipun isu Azmin dan Rafizi merupakan isu politik di Semenanjung Malaysia akan tetapi ia mewabak kepada situasi politik di Sabah dan Sarawak. Masing-masing mempunyai penyokong mereka sendiri.

Baru Bian dan PKR Sarawak

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang merupakan ahli parlimen Selangau dan Menteri Kerja Raya dikatakan bersekutu dalam kumpulan   Azmin Ali untuk menewaskan kumpulan Rafizi. Terdapat 29 cabang PKR di Sarawak memberikan persaingan sengit kumpulan Baru Bian dan Lary Sng ahli parlimen Julau yang dilihat dekat kempen Rafizi.  Namun, dalam pertandingan sengit tersebut, Rafizi berjaya dikalahkan oleh kumpulan Azmin Ali.

Selepas pemilihan PKR reda, berlaku pula isu video seks yang mendakwa penglibatan Azmin Ali dalam  video tersebut. Beberapa kali Azmin menafikan penglibatannya dan menganggap ia politik kotor dan fitnah.

Ini mendorong kepada perakuan sokongan kepada pemimpin utama PKR  yang dimulakan oleh sekutu rapat Azmin, iaitu dua naib presiden, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin yang mencatatkan 27 ahli majlis pusat pimpinan (MPP) bersama 14 ahli parlimen PKR memberi sokongan kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam isu video seks.

Page: Baru Bian

 

Baru Bian sebagai ahli Majlis Pusat Pimpinan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Ali Biju selaku Naib Presiden MPP,  dan ahli politik muda Williy Mongin dari parlimen Puncak Borneo ialah antara yang membuat perakuan sokongan kepada Azmin Ali dalam menghadapi kegetiran politik tersebut.

Implikasi

Sudah pasti ini mampu memberikan kesan kepada PKR Sarawak pada masa akan datang.   Yang terbaru ialah Pengerusi PKR Sarawak menafikan mengeluarkan kenyataan menyokong presiden parti itu Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali. Beliau juga menolak dakwaan bahawa beliau berbuat demikian kerana takut kehilangan jawatan dalam majlis pimpinan negeri.

Sebelum itu, lebih 20 pemimpin bahagian PKR Sarawak mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan Azmin. Kenyataan tersebut dibuat berikutan seruan dua naib presiden parti berkenaan supaya kempen tanda tangan yang berjalan dihentikan susulan ketegangan yang tercetus akibat pergeseran yang berlaku antara  Anwar dan Azmin.

Menurut sumber dalaman PKR Sarawak, Bian mengeluarkan mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar dan Azmin kerana takut hilang kawalan ke atas jawatannya termasuklah takut hilang kedudukan dan kuasa dalam majlis pimpinan negeri. Kesemua ini berlaku akibat hubungan tegang dalam PKR berpunca daripada penyebaran klip video yang didakwa melibatkan pemimpin PKR.

Yang lebih menarik lagi dalam kes tersebut, bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz membuat dakwaan bahawa beliau adalah salah seorang lelaki itu dalam skandal tersebut, selain mendakwa pasangannya adalah Azmin. Pihak polis  pula menegaskan klip video itu besar kemungkinan tinggi tulen, namun belum dapat mengesahkan identiti individu terbabit.

Isu klip video tersebut  semakin panas apabila Presiden Parti menggesa Azmin meletakkan jawatan sekiranya klip video berkenaan disahkan tulen dan ini menyebabkan kemarahan dan respon keras Azmin yang memberitahu Anwar supaya “melihat dalam cermin”.

Masa depan PKR Sarawak

Sekiranya pertelingkahan politik  ini berterusan , maka Baru Bian akhirnya terpaksa mengambil sikap menyokong di antara Anwar atau Azmin Ali. Apabila ini berlaku, maka ia akan menyebabkan perpecahan PKR boleh berlaku.

Jawatan PKR selaku Pengerusi PKR Negeri Sarawak dan Menteri boleh terbang sekiranya Anwar menang dalam pertelingkahan politik tersebut. Sebab itu, Bian perlu berhati-hati dalam pergelutan politik dalaman PKR tersebut.

Impak paling besar ialah jika berlakunya perpecahan lebih besar hingga menyebabkan Azmin membawa pengikutnya menyertai parti untuk terus relevan. Sekiranya spekulasi bahawa terdapat perbincangan  dengan parti Gerakan benar, maka ahli parlimen PKR Azmin dan pengikutnya akan menyertai Gerakan.

Ini bermakna Baru Bian  akan menyertai Gerakan jika beliau menyokong penuh Azmin dan parti Gerakan pula akan melebarkan sayap di Sarawak.  Persoalan yang besar ialah jenama parti Gerakan tidak dikenali di Sarawak dan ini akan menyebabkan kerusi Baru Bian dan pengikut Azmin lain di Sarawak akan menjadi tidak stabil.

Sudah pasti sukar mempertahankan kerusi mereka di Sarawak. Inilah  situasi politik akan berlaku jika benar spekulasi bahawa Azmin dan orang-orangnya keluar PKR dan menyertai parti Gerakan. Sewajarnya ini tidak berlaku dalam PKR Sarawak kerana lebih banyak kerugian politik daripada keuntungan yang bakal diperoleh.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisissosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.