SEMEMANGNYA buku teks sejarah menimbulkan minat kepada semua orang untuk mengetahui isi kandungannya.  Malahan, kita di Sarawak juga amat prihatin dengan apa-apa yang dituliskan dalam buku teks.

Hal ini mungkin kerana suntikan semangat penduduk Sarawak dengan pelbagai isu tentang hak negeri Sarawak telah memberi semacam tenaga untuk meneliti buku sejarah ini.

Dua perkara yang sering diketengahkan oleh peminat buku teks ialah kurangnya perbincangan sejarah Sarawak dan kesilapan fakta.

Dua perkara ini sering berlegar-legar dalam kotak pemikiran kita kerana sejarah haruslah bersifat menyeluruh tanpa meninggalkan apa-apa yang penting.

Memang terdapat beberapa perkara yang perlu dibetulkan dalam buku teks tersebut.  Ini kerana sejarah buku teks dianggap oleh segelintir kita di Sarawak lebih kepada sejarah orang Malaya.  Amat kurangnya penulisan atau liputan tentang sejarah Sarawak.

Manakala ada beberapa faktanya pula terdapat kesalahan dari segi nama, maksud dan rujukan.  Oleh itu, berlakulah bantahan kepada pihak Kementerian Pendidikan kerana buku teks harus melakukan apa-apa yang perlu diketengahkan oleh mereka.

Memang diakui terdapat beberapa kesilapan dilakukan oleh penulis tentang buku teks seperti yang berlaku pada buku teks terdahulu berkenaan dengan pengebumian masyarakat Murut di Sabah.  Begitu juga dengan kesilapan meletak gambar rumah Bidayuh.

Ya, mungkin kesilapan ini berlaku dalam kalangan penulis tetapi kita harus sedar bahawa penulis buku teks menghadapi banyak dilema untuk menulis tentang sejarah Sarawak dan juga  Sabah.

Dilema ini dikaitkan dengan sukarnya mendapat maklumat dan maklumat jelas tentang sejarah Sarawak khususnya tentang budaya dan masyarakatnya.  Tidak banyak buku yang autoriti dapat menjadi rujukan mereka.

Sejarah Sarawak tidak banyak ditulis dan dikaji.  Hanya terdapat beberapa buah buku yang diterbitkan tentang sejarah.  Kita perlu berterima kasih atas usaha mereka ini tetapi ada juga tulisan yang tidak mengikut kaedah sejarah yang betul.

Hal ini akan menyebabkan berlaku ketempangan dalam penulisan sejarah.  Akhirnya menyebabkan faktanya dapat dipersoalkan.

Oleh sebab kekurangan itu, ia menimbulkan keterbatasan untuk menulis dan mendapat fakta yang jelas.  Sesetengah buku mempunyai berlainan pendapat tentang soal sejarah dan budaya. Hal ini lebih memeningkan penulis kerana fakta sebenar tentang sesuatu isu dan perkara itu berlainan daripada satu kumpulan kepada kumpulan tertentu.

Jikalau diambil A sebagai fakta dalam buku teks, timbul pula ketidaksetujuan tentang fakta itu kerana pengkritik akan percaya kepada fakta B lebih tepat.  Jikalau timbul pula fakta C bagaimana pula akan kita selesaikan hal ini.

Konsesus antara mereka tidak wujud.  Hal ini akan berterusan sehingga menimbulkan polemik sama ada ia patut atau tidak.

Contohnya, usaha untuk memasukkan tarikh kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963.  Sejauh manakah tafsiran ini betul? Pihak tertentu mungkin mengatakan ia betul tetapi ada pihak tidak melihat hal ini betul kerana mereka ada bukti jelas bahawa ia memang tidak betul.  Hal ini saya akan dalami pada kolum akan datang.

Tambah merumitkan apabila menyentuh soal budaya.  Ini kerana satu kaum itu mempunyai keistimewaannya tetapi banyak tidak ditulis tentang hal ini.

Ini kerana rahsia sesuatu kaum di Sarawak masih lagi dalam lisan dan belum banyak dibukukan serta disahkan.

Oleh itu, kalau adapun penulisannya ia tidak banyak dan mempunyai pelbagai pendapat.  Hal ini merumitkan kerana ia akan membawa kritikan di pihak tertentu kerana ia adalah salah bagi mereka.

Berbalik kepada dominasi penulisan buku sejarah yang sebahagian besarnya sejarah orang Malaya, ia tidak dapat dipertikaikan.  Kerana sumber dan karya tentang sejarah di Semenanjung Malaysia dapat dianggap banyak.

Malahan, jabatan sejarah di beberapa buah universiti di Semenanjung mempunyai pakar tentang sejarah Semenanjung Malaysia.  Mereka juga melakukan aktiviti akademik seperti seminar dan persidangan bagi mewujudkan konsesus dan perbincangan.

Dengan kata lain, mereka lebih prolifik dalam penghasilan karya sejarah mereka.  Senang bagi penulis mereka menulis tentang sejarah Semenanjung Malaysia yang banyak bahannya.

Oleh itu, Sarawak perlu lebih kehadapan dalam hal ini agar dapat mengatasi masalah kekurangan sejarah dan kesilapan fakta sejarah.

Kita harus membina buku teks Sejarah Malaysia itu bersama-sama rakan kita di Semanjung dan juga Sabah bagi menunjukkan bahawa buku teks sejarah yang akan dihasilkan itu memang buku teks yang menyeluruh untuk kita semua.

Dengan kata lain, kita di Sarawak perlu memperkasakan ilmu sejarah dan budaya masyarakat kita dengan mewujudkan satu jabatan sejarah agar ia mampu memberi ruang lebih banyak bagi penulisan dan dialog sejarah yang lebih berkesan.

Malahan, pihak kerajaan sama ada negeri ataupun pusat dan  NGO seperti Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sarawak juga dapat membantu dalam meningkatkan penulisan dengan memberi bantuan kewangan tentang penyelidikan dan seminar sejarah Sarawak.  Hal-hal ini mampu mengatasi permasalahan buku teks sejarah Malaysia.