RM1.5 bilion pacu pembangunan di tanah tinggi, termasuk Bario

MIRI: Peruntukan berjumlah RM1.5 bilion yang diluluskan Kerajaan Sarawak dijangka mengubah landskap kawasan tanah tinggi di utara Sarawak termasuk Bario dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) perlu membelanjakan peruntukan tersebut dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan terbabit yang didiami terutamanya oleh Orang Ulu.

“Ia perlu dibelanjakan dalam tempoh dua tahun untuk membangunkan infrastruktur di tanah tinggi ini termasuk Bario,” katanya.

“Peruntukan sudah ada,  yang perlu hanya membangunkan infrastruktur tersebut,” katanya  semasa berucap merasmikan Festival Makanan dan Kebudayaan Bario yang dikenali sebagai Pesta Nukenen Ke-14 di Bario, Sabtu lalu. 

Ketua Menteri berkata, beliau sentiasa mahu melaksanakan pembangunan seimbang dengan turut memberi perhatian kepada pembangunan di luar bandar, termasuk di tanah tinggi Bario.

Untuk itu, katanya, Kerajaan Sarawak mempunyai pelan pembangunan strategik lima tahun untuk kawasan tanah tinggi, dari 2020 hingga 2025.

Katanya, antara bidang berpotensi diterokai di Bario ialah   pelancongan dan pertanian bagi melonjakkan ekonomi kawasan tanah tinggi terbabit.  

Pada majlis yang sama beliau turut mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk Pesta Nukenen  selama tiga bermula 23 Julai lalu.