Sistem perparitan konkrit selesaikan masalah banjir

KUCHING: Penduduk di Kampung Tabuan Dani kini boleh menarik nafas lega apabila Projek Sistem Perparitan Konkrit telah siap dan dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Yang Berhormat Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata projek ini menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan banjir yang sering berlaku ketika hujan lebat dan musim tengkujuh di Kampung Tabuan ini dapat diselesaikan segera.

“Kita akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian ke atas permasalahan rakyat seperti masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Tabuan Dani.

“Pada hari ini, kita menyaksikan penyerahan Projek Sistem Perparitan Konkrit sepanjang 500 meter yang menelan kos sebanyak RM500,000 adalah salah satu daripada Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Inilah inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi. Kita bekerja bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek RTP ADUN Demak Laut 2018 di Kampung Tabuan Dani, semalam.

Dr Hazland turut menjelaskan Projek Sistem Perparitan Konkrit di Kampung Tabuan Dani ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan kampung-kampung di kawasan Tabuan tidak lagi terlibat dalam banjir.

“Kita mengambil berat dalam permasalahan banjir yang sering berlaku di kawasan Kampung Tabuan ini.

“Pembinaan sistem perparitan konkrit ini akan dapat menguruskan aliran air  yang lancar jika berlaku banjir.

“Untuk itu, kita akan terus melihat keperluan yang boleh diadakan di kawasan Kampung Tabuan ini bagi memastikan Tabuan bebas banjir,” tambahnya.