Tuesday, August 16, 2022

Kerjasama institusi pendidkan dan masyarakat penting untuk kejayaan pelajar

Secara Rawak

MIRI: Kesepakatan dan permaufakatan antara institusi pendidikan dan masyarakat adalah amat penting dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajar di peringkat persekolahan. 

Timbalan Ketua Menteri Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kejayaan pelajar tidak akan dapat dicapai tanpa usaha gigih dan komitmen yang tinggi serta koordinasi yang baik di kalangan pentadbir, guru-guru dan ibu bapa serta pelajar itu sendiri.  

“Fokus kesepakatan dan permaufakatan amat penting di antara institusi pendidikan iaitu guru dan sekolah dengan masyarakat iaitu ibu bapa menerusi PIBG dalam memastikan kejayaan anak-anak, 

“Hubungan yang erat dan mesra serta kerjasama yang padu antara ibu bapa juga sangat penting.

 “Kerjasama ini sudah pasti menjadi pendorong dan pemudah cara dalam setiap ke arah kemajuan anak-anak kita sebagai tonggak kepada masa depan negeri,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Yang Berhormat Hajah Rosey binti Haji Yunus pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2019 Bahagian Miri, semalam. 

Pada majlis itu, seramai 86 orang pelajar dari Miri menerima Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak Tahun 2019. 

Penerima hadiah kecemerlangan bagi SPM membawa pulang hadiah berupa Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM500, manakala bagi STPM pula bernilai RM700.

Sebanyak empat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu PIBG SMK Suai Subis dan SMK Bakong Subis menerima geran Yayasan Sarawak berjumlah RM10,000, manakala SMK Baru Miri dan SMK Dato Permaisuri Miri masing-masing menerima RM5,000 untuk tabung PIBG aktiviti tahunan. 

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak Haji Azmi bin Haji Bujang berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak telah menyediakan banyak peluang dan kemudahan untuk pelajar-pelajar yang cemerlang dari negeri ini untuk menyambung pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi di Sarawak. 

“Antaranya, Universiti Curtin di Miri, Universiti Swinburne di Kuching, Kolej Laila Taib di Sibu dan semua ini di bawah Yayasan Sarawak.

“Yayasan Sarawak juga memberikan bantuan dalam pendidikan dengan jika berjaya dalam pelajaran, pelajar akan mendapat potongan diskaun pinjaman pendidikan,” katanya.

Pada tahun ini, jumlah penerima keseluruhan Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak Tahun 2019 adalah seramai 1,378, di mana 957 adalah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 421 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru