Saturday, August 20, 2022

Kebangkitan Baru Bian dan PKR di Sarawak 

Secara Rawak

Sudah lebih 30 tahun Baru Bian terlibat dalam dunia politik apabila mengambil kira penglibatan pertama beliau dalam politik ialah apabila menyertai Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) pada tahun 1987.  Beliau pernah dilantik sebagai sebagai ahli pemuda eksekutif PBDS dan ahli Majlis Tertinggi PBDS.

Pertama kali Baru Bian bertanding dalam pilihan raya ialah pada tahun 1991, apabila bertanding di Lawas akan tetapi tewas.   Apabila PBDS menyertai semula BN pada tahun 1994, beliau membuat keputusan keluar daripada PBDS pada tahun 2004 kerana ingin bertanding  dalam pilihan raya kecil Ba’kelalan sebagai bebas namun kalah lagi.

Selepas itu, Baru Bian menyertai  Malaysian Dayak Congress (MDS) parti namun tidak dapat didaftarkan  sebelum 2006 pilihan raya negeri Sarawak. Beliau mengambil keputusan  untuk bertanding di Ba’kelalan dengan menggunakan parti Sarawak National Party (SNAP).  Pada tahun 2006 akan tetapi tewas buat kali ketiga. Beliau menfailkan dakwaan aktiviti politik wang  dalam pilihan raya tersebut akan tetapi kalah di mahkamah. Melihat situasi tersebut, beliau mengambil keputusan bersara dalam politik.

Sentimen Berubah

Apabila politik nasional berubah pada tahun 2008 dan BN kalah  dua pertiga majoriti ini memberikan landskap politik yang optimis di Sarawak.   Terdapat lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Situasi ini membangkitkan rasa ingin kembali dalam politik oleh Baru Bian lalu menyertai Parti Keadilan Sarawak. Latar belakang penglibatan Baru Bian dalam isu Tanah Adat dan peguam  dan PKR memerlukan kepimpinan muda ketika itu, menyebabkan PKR dipilih sebagai pengerusi PKR Sarawak pada tahun 2009.

Sejak itu, dengan aura parti PKR beliau berjaya memenangi kerusi Ba’kelalan pada pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2011 dengan perbezaan 473 undi majoriti. Pada pilihan raya umum 2013, Baru Bian cuba bertanding di parlimen Limbang. Namun beliau kalah teruk ditewaskan oleh BN.

Kekuatan dan potensi Baru Bian menyebabkan Adenan Satem selaku Ketua Menteri Sarawak dikatakan pernah mempelawa Baru menyertai BN pada tahun 2015, akan tetapi tawaran ini ditolak dengan baik.  Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, meskipun mencipta sejarah kemenangan besar BN Sarawak, akan tetapi Baru Bian terus kekal menang dengan peningkatkan undi majoriti sebanyak 538 undi.

Kebangkitan Baru Bian dan PKR

Pada pilihan raya umum 2018 akibat  isu Tanah Adat Bumiputera di Selangau, Baru Bian mengambil kesempatan daripada isu ini untuk bertanding di parlimen Selangau.  Di parlimen tersebut, majoriti pengundi ialah etnik Iban sedangkan Baru Buan ialah etnik Lun Bawang. Namun disebabkan parlimen Selangau bergolak lebih-lebih lagi isu pertarungan  di antara Joseph Entulu Belaun yang dipecat oleh James Masing menjelang pilihan raya umum menyebabkan berlakunya undi protes.

Calon Rita Sarimah anak Patrick Insol seorang peguam korporat dan merupakan  orang kepercayaan kumpulan James Masing dan diangkat sebagai calon menggantikan Josep Entulu yang dipecat oleh presiden PRS menjelang pilihan raya negeri Sarawak. Beliau meletakkan  Rita yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak dan Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak serta bekas majistret untuk gantikan Joseph.

Rita Sarimah Insol

Dalam kempen di parlimen Selangau, kempen melabel-labelkan Baru Bian sebagai orang luar digunakan. Rita  pula dikempenkan sebagai sebagai anak tempatan yang berkebolehan tinggi, mempunyai ramai sanak saudara dan keluarga besar dan sudah dikenali sejak 14 bulan telah turun ke kawasan berjumpa akar umbi.

Namun sentimen terhadap penyandang lama masih kuat. Ramai pengundi di Selangau tidak berpuas hati apabila Joseph Entulu yang sudah lama  berkhidmat sebagai ahli parlimen telah dipecat. Joseph Entulu pula tidak bertanding sebagai calon bebas. Simpati terhadap pemecatan Entulu menimbulkan undi protes oleh pengundi di Selangau. Ternyata, bukanlah Baru Bian terlalu kuat sebagai calon di Selangau, akan tetapi disebabkan undi protes oleh pengundi atau penyokong Joseph Entulu yang mempunyai pengaruh besar di Selangau. Ini dapat dilihat apabila Baru Bian menang dengan majoriti undi hanya sebanyak 486 undi atau  hanya berbeza sekitar 1.11 peratus.

Kebangkitan Baru Bian

Kemenangan tipis ini berjaya membuahkan hasil Baru Bian sebagai  Menteri Kerja Raya dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan Malaysia. Jawatan tersebut pernah dipegang oleh Fadillah Yusof dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Kedudukan Baru Bian  sebagai selaku Menteri Kerja Raya ini memberikan ruang kepada beliau untuk membaiki dasar-dasar yang sedia ada seperti Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (DPAK)  yang dikaji semula agar sesuai dengan situasi kewangan dan ekonomi semasa.

Baru Bian juga peka dengan isu ‘projek sakit’, iaitu enam projek infrastruktur bernilai RM1.677 bilion di Sarawak  akibat kelewatan kerja-kerja pembinaan sehingga gagal disiapkan mengikut jadual. Projek ini termasuklah Hospital Sri Aman, Pusat Pembangunan Baka Induk Udang Galah di Santubong; Jalan Akses ke Empangan Baleh, Pos dan Kuarters Imigresen Ba’kelalan, Jejak Warisan dari Kampung Sungai Bintangor ke Esplanade Kuching dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Semuja.

Pada masa yang sama kerja pembinaan bagi 11 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di bawah kepimpinan Baru Bian, beliau menjanjikan akan tetap diteruskan berdasarkan terma kontrak yang telah dipersetujui dan ini tertakluk kepada hasil penelitian semula yang sedang dijalankan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.

Daripada segi politik, Baru Bian perlu mengukuhkan lagi  kedudukan beliau khususnya di parlimen Selangau dan Bakalelan yang undinya hanya ratusan undi sahaja. Tanpa memberikan perhatian yang lebih kepada kawasan maka  sukar kepadanya untuk mengekalkan kedudukannya sama ada selaku Menteri Kerja Raya mahupun wakil rakyat di dewan undangan negeri dengan pergantungan ratusan undi sahaja.

Pada masa yang sama juga, ini merupakan cabaran kepada Bian untuk seimbangkan  ruang masa dan aktiviti di antara tugas sebagai ahli parlimen di kawasan Selangau dan wakil rakyat DUN Ba’kelalan yang tidak dekat di antara kedudukan tersebut. Tugas sebagai Menteri Kerja Raya  memerlukannya berkhidmat secara nasional dan di serata-rata tempat dari Perlis hingga ke Sabah.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru