RM10 juta bina loji air di Long San

0
5

BARAM: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM10 juta bagi membina loji penapisan air persendirian di Long San, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, ia antara projek yang diluluskan kerajaan di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).

Katanya, projek itu yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini akan meningkatkan bekalan air untuk kegunaan penduduk di kawasan pedalaman di Ulu Baram.

“Menjadi impian saya untuk melihat projek ini dilaksanakan secepat mungkin namun sistem ini memerlukan penyelidikan teliti sebelum ia dapat membekalkan air.

“Apabila projek fasa pertama itu siap nanti, ia akan memberi manfaat kepada beberapa rumah panjang, sekolah dan klinik di Telang Usan,” katanya berucap merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) St Pius di Long San baru-baru ini.

Dennis menambah, bekalan air menggunakan sistem ini adalah yang pertama dilaksanakan di Telang Usan dan kawasan Mulu.

Mengenai acara sukan tahunan itu, Dennis menegaskan bahawa aktiviti kokurikulum amat penting dalam pembangunan tenaga manusia.

Beliau berbangga dengan pihak sekolah dan ibu bapa yang menggembleng tenaga memastikan projek itu berjalan lancar.
“SK St Pius merupakan antara sekolah rendah yang paling ramai jumlah murid di Telang Usan.

“Saya berharap kerjasama antara ibu bapa dan sekolah diteruskan bukan hanya untuk kecemerlangan sukan malah akademik,” katanya yang turut menyumbang RM10,000 untuk sukan tersebut.

Antara objektif sukan itu ialah bagi memilih atlet untuk kejohanan di peringkat Ulu Baram.
Hadir sama Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Christopher Igau, Penolong Kanan Kokurikulum Day Bee Doming, Ketua Kaum Long San Lucia Paya dan Pengetua SMK Datu Temenggung Lawai Jau Long San Richard Emang. – Edisi UKAS