SK Kampung Tellian juara Karnival Aneka Ceria Prasekolah

MUKAH: Prasekolah Mutiara Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian dinobatkan juara setelah menewaskan lebih 20 buah prasekolah lain dalam Karnival Aneka Ceria Prasekolah Peringkat Daerah Mukah 2019, yang diadakan di Dewan Suarah Mukah, Rabu lalu.

Tempat kedua dimenangi oleh Prasekolah SK Mukah dan ketiga SK Kampung Teh Mukah.

Prasekolah Mutiara Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian tersebut telah menjuarai pertandingan Tarian Rampaian dan Bercerita Bahasa Melayu, tempat kedua untuk Action Song, tempat ketiga bagi Story Telling dan hadiah sagu hati bagi pertandingan mewarna.

Sebagai tambahan sekolah tersebut juga memenangi Anugerah Busana Terbaik.

Terdahulu, sekolah tersebut juga pernah merangkul Juara Keseluruhan pertandingan tersebut pasa edisi tahun 2013, iaitu tahun terakhir karnival diadakan sebelum ini.

Objektif utama pertandingan tersebut ialah untuk memilih peserta yang akan mewakili Mukah ke seterusnya iaitu peringkat negeri.

Selain dapat menampilkan bakat dan potensi dalam pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak untuk lebih berani, bertanggungjawab dan berketrampilan.

Manakala Karnival Aneka Ceria Prasekolah Peringkat Negeri Sarawak pula akan diadakan pada bulan September di Bandaraya Kuching nanti.