Sokongan padu rakyat sumber kekuatan Sarawak

0
4

BINTULU: Kerajaan Sarawak tidak mampu membangunkan negeri ini tanpa ada sokongan padu rakyat Sarawak sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lebih 50 tahun kerajaan negeri telah mengharapkan bantuan dan sokongan orang lain membantu Sarawak supaya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama berkongsi kemakmuran negeri ini.

“Yakinlah wahai Anak Sarawak bahawa kita boleh berdiri atas kaki sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak. Ada anasir-anasir luar sedang cuba dengan sedaya upaya melemahkan perpaduan kita ini.

“Segelintir kita sudah mula lupa akan perjuangan kita bersama untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dan rela dikuasai oleh orang lain untuk kepentingan masing-masing.

“Namun, sempena dengan Perayaan Hari Sarawak pada tahun ini saya dan rakan-rakan berdoa dan mengajak seluruh rakyat Sarawak berdoa agar Bumi Kenyalang ini selamat daripada penguasaan pihak luar dan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian berucap dalam Perhimpunan Sambutan Hari Sarawak 2019 di Tapak Lapangan Terbang Bintulu Lama, semalam.

Hadir sama ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib.

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu, Sarawak juga mempunyai sumber kewangan alternatif, iaitu melalui Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS yang membiayai projek bekalan air, bekalan elektrik, RECODA, Coastal Road, Second Trunk Road dan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA).

Jelas beliau, prestasi pelaburan asing dan tempatan Sarawak adalah antara yang menduduki tempat teratas dalam kalangan negeri di negara ini.

“Di Bintulu ini sahaja, khususnya di Samalaju; Sarawak telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM 13.76 bilion yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 11,000 orang, dan keseluruhan nilai pelaburan bagi Sarawak dari tahun 2016 hingga 2018 ialah RM23.7 bilion,” katanya.

Ketua Menteri menambah, pada September depan, pembinaan loji methanol pertama milik Sarawak akan dilancarkan di Tanjong Kidurong, Bintulu.

Katanya, projek loji berkenaan diyakini akan terus memacu ekonomi tempatan di Bintulu selain memberi peluang pekerjaan kepada ramai anak Sarawak. -Edisi UKAS