BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membantu orang muda di Sarawak untuk bergiat aktif dalam sukan E-Sport dan seterusnya dapat mewakili negara dalam Sukan SEA di Manila akan datang.

Menurut Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beliau telah meminta Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia Dan Sukan Sarawak Yang Berhormat Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Belia Dan Sukan Yang Berhormat Datuk Snowdan Anak Lawan untuk melihat keperluan yang diperlukan bagi membolehkan sarawak menghantar wakil dalam sukan E-Sport di Sukan SEA Manila, nanti.

“Inshallah, Kerajaan Sarawak akan membantu orang muda dari sudut sukan elektronik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Sukan E-SPORT sempena Hari Sarawak 2019 di Bintulu, semalam.

Ketua Menteri turut menjelaskan tentang keperluan sukan E-Sport ini dalam bidang teknologi digital.

“Sukan elektronik adalah sukan rekreasi yang baru yang menggunakan peranti elektronik dan menguji tahap pemikiran yang tinggi.

“Di Asia, Korea mempunyai kementerian sendiri yang diberi nama Kementerian E-Sport.

“Dengan adanya kepakaran kita menggunakan peranti digital ini, bermakna semua peranti teknologi boleh digunakan dan dipelajari berasaskan sukan elektronik,” ujarnya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri telah menyampaikan hadiah kepada juara bagi kategori permainan PUBG dan FIFA 2019 dan seterusnya mengadakan sesi bergambar bersama pemenang-pemenang.