BINTULU: Sukan E-Sport akan dimasukkan di dalam Sukan Sarawak (SUKSAR) akan datang sebagai salah satu daripada medan untuk mencungkil bakat bagi mewakili Sarawak ke peringkat yang tinggi.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan ketika ini sukan E-Sport ini telah dipertandingkan di dalam Sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak melihat sukan E-Sport suatu acara yang perlu diikuti supaya kita di Sarawak tidak ketinggalan.

“Malah, sukan E-Sport ini juga diangkat dan dipertandingkan dalam sukan lebih besar seperti Sukan SEA dan SUKMA. Di Sukan SEA, sebanyak 6 emas dipertandingkan dalam acara ini.

“Atas sebab itu, kita di Sarawak akan menjadikan sukan E-Sport ini sebagai salah satu cabang sukan yang dipertandingkan dalam SUKSAR nanti,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Sarawak Day E-Sport Tournament 2019 di NAIM Paragon Street Mall, semalam.

Mengenai sukan E-Sport yang dianjurkan sempena Hari Sarawak, beliau memaklumkan ini merupakan julung kalinya sukan sebegini dianjurkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Walaupun buat julung kalinya diadakan sempena Hari Sarawak di Bintulu ini, sambutan dan permintaan yang diterima ke atas permainan ini sangat menggalakkan daripada kalangan belia dan dewasa.

“Pada pertandingan sukan E-Sport kali ini, sebanyak dua permainan telah dipertandingkan iaitu FIFA 19 mendapat 130 penyertaan dan Mobile Legend sebanyak 320 penyertaan. Ini merupakan penyertaan yang agak luar biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Sarawak E-Sport merangkap Timbalan Presiden E-Sport Malaysia Afiq Fadhli bin Narawi berkata penganjuran sukan E-Sport ini bertujuan mempromosikan Strategi Sarawak Digital Ekonomi dan Pelancongan E-Sport.

“Ketika ini Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan dasar Ekonomi Digital yang berpusatkan kepada teknologi dalam membangunkan ekonomi Sarawak.

“Untuk itu, kita dengan kerjasama Kerajaan Sarawak untuk menganjurkan satu kejohanan antarabangsa yang akan dinamakan sebagai Sarawak International Esport Festival. Walau bagaimanapun tarikh akan dimaklumkan kemudian.

“Jika ini berjaya diadakan, secara tidak langsung kedatangan pelancong ke Sarawak akan meningkatkan industri pelancongan sejajar dengan Tahun Melawat Sarawak 2019,” ujarnya.

Dalam majlis itu, juga diadakan satu forum yang membincangkan tentang “The Real Value of Esport” yang dikendalilan oleh tiga orang panel iaitu Hisham Darus, Kenneth Lim dan Rafidah Lim.

Hadir sama Presiden E-Sport Malaysia Dato’ Ananth S. Nathan, Setiausaha E-Sport Malaysia (ESM) merangkap Presiden E-Sport Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Rafidah Lim dan Residen Bintulu Saifulbahry bin Alwie.