Friday, August 19, 2022

Masa depan PSB dan GPS di Sarawak

Secara Rawak

Politik amat memerlukan dukungan jentera untuk memastikan akar umbi dapat berasa impak kewujudan sesebuah parti politik. Namun apabila perlantikan kaunselor di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinafikan maka sukar bagi Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Wong Soon Koh untuk melebarkan pengaruh kalangan rakyat.

Begitu juga  apabila peruntukan untuk Geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP)  dibekukan sejak awal tahun ini melibatkan semua Adun PSB. Kesemua ini menjadikan jentera PSB tidak dapat bergerak  dan sukar untuk menarik akar umbi apabila RTP dan MRP ini dapatlah diumpamakan sebagai makanan, api, air dan keperluaan harian rakyat yang dahagakan pembangunan khususnya di luar bandar.

Masa depan PSB dan GPS

Pengunduran  Wong Soon Koh dalam jawatan politik yang disandang  sudah pasti berlaku dalam masa terdekat selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Sarawak.  Hal ini bermakna tanpa jawatan politik kanan, iaitu Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang dalam barisan Kabinet Sarawak, Soon Koh tidak ada senjata politik untuk mempertahankan hayat politik beliau.  Lebih-lebih lagi umurnya 3 tahun menghampiri 80 tahun.

Hal ini akan menambahkan pahit PSB selaku parti baharu dan kelihatan petunjuk bahawa ia  tidak diterima oleh GPS. Strategi Soon Koh yang menarik wakil rakyat yang dipecat atau keluar dari parti lain  tidak disenangi oleh parti-parti komponen GPS kerana ini menjadikan kawasan DUN terpecah dua, iaitu satu menyokong PSB manakala satu lagi menyokong  SUPP misalnya.

Situasi ini menjadikan  kekuatan SUPP menjadi semakin lemah dan menjadi undi akan berpecah tiga sekiranya berlaku pilihan raya negeri. Persaingan  di antara PSB, SUPP dan PH akan berlaku dan ini merugikan SUPP dan PSB sendiri.

Apakah tanpa PSB bertanding pada pilihan raya akan datang menjadikan SUPP, PRS, PDP terselamat dan  menang besar? Ia tidaklah semudah sedemikian. Berdasarkan situasi semasa SUPP masih bergantung kepada undi bumiputera untuk menang manakala undi Cina lebih selesa bersama Pakatan Harapan.

Sewajarnya SUPP menarik undi Cina dan bukanlah berterusan mengharapkan  pengundi bumiputera bagi menghidupkan hayat politik SUPP. Tanpa PSB pun nasib parti SUPP pada pilihan raya akan datang masih lagi suram kecualilah pengundi Cina mahu kembali bersama SUPP ketika era Adenan Satem.

PRS Lega?

PRS juga tidak boleh menarik nafas lega kerana sebelum ini Presiden PRS, James Masing sering melihat  PSB boleh memberikan ancaman besar terhadap kedudukan PRS. Tanpa persaingan daripada PSB belum tentu  PRS semakin kuat. Hal ini kerana bahawa PKR sebenarnya ancaman terbesar PRS.

Setelah PKR menang dan bersama Pakatan Harapan dan membentuk  kerajaan di Putrajaya pengaruh PKR semakin kuat. Kalau dahulu tidak ramai mahu ditampilkan bertanding kerana tidak mahu hilang wang deposit dan dilabelkan sebagai imej pembangkang.  Kini PKR dan PH ialah sebuah kerajaan manakala GPS ialah parti pembangkang di peringkat nasional meskipun mendakwa mesra PH.

Ramai anak-anak muda yang berpendidikan tinggi mahu memberikan sumbangan dalam politik dengan menyertai PKR sebagai peluang untuk membina landskap baharu politik negeri Sarawak.  Penyertaan dalam PKR atau parti lain seperti DAP dilihat lebih mudah lebih-lebih lagi PKR dan DAP mahukan ramai anak-anak bumiputera menyertai parti mereka.

Situasi inilah sebenarnya memberikan ancaman kepada kepada PRS, SUPP dan UPP menjelang pilihan raya negeri Sarawak. Situasi ini lebih berbahaya apabila Soon Koh mungkin tidak lagi aktif,  atau PSB mungkin menjadi parti bebas atau menyebelahi Pakatan Harapan sebelum atau selepas pilihan raya negeri Sarawak. PSB mampu menjadi pemecah undi lebih-lebih sekiranya calon tersebut popular dalam kalangan masyarakat Iban.

Bayangkanlah sekiranya sekiranya tokoh politik Iban  popular seperti Joseph Entulu, Masir Kujat , William Nyallau Badak, Johnical Rayong menyertai PKR. Sudah pasti, situasi ini boleh mengubah landskap politik  Iban di Sarawak. Begitu juga sekiranya Sylvester Entri dan Tiki Lafe menyertai PKR. Kedudukan PRS dan PDP terus berada dalam keadaan tergugat besar.

Ternyata tanpa PSB, masa depan politik GPS belum tentu terjamin  untuk berhadapan pilihan raya negeri Sarawak. GPS wajar memikirkan strategi yang bersesuaian dan lebih efisien tanpa mengira jenis musuh politik mereka menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Pada masa yang sama ruang lebih besar kepada anak-anak muda untuk lebih aktif dalam politik GPS dari segi ranting, cawangan atau bahagian untuk bersama-sama menentukan politik dan masa depan negara.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru