PETALING JAYA: Jenama barangan sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd memeterai persetujuan dengan dua kelab penyokong Liverpool FC di Malaysia, All Reds dan KL Kopites.

Persepakatan itu membolehkan ahli-ahli dua kelab penyokong itu menikmati pelbagai kelebihan antaranya potongan harga 20 peratus setiap pembelian di cawangan Football Republic yang bernaung di bawah jenama Al-Ikhsan.

Presiden KL Kopites, B. Sashidaran berkata, langkah ini akan memperkukuh pengaruh Liverpool FC di Malaysia dengan pembelian barangan tulen bagi menyokong kelab yang berpangkalan di barat laut England itu.

“Membeli daripada Football Republic selaku pengedar rasmi barangan Liverpool FC akan menguatkan kepercayaan kelab bola sepak itu kepada kita di Malaysia sekaligus bersama membantu Liverpool menjadi kelab yang lebih besar,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak itu di sini pada Sabtu.

KL Kopites dan All Reds Malaysia adalah hanya dua kelab penyokong rasmi yang diiktiraf entiti bola sepak yang merangkul gelaran Raja Eropah buat kali keenam selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

All Reds yang diiktiraf sebagai kelab penyokong rasmi Liverpool sejak Februari 2013 mencatatkan lebih 300 keahlian baharu pada jendela pendaftaran musim baharu tempoh hari, menjadikan mereka kini dianggotai lebih 800 penyokong setia The Reds dari seluruh negara.

Presiden All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa pula melihat usaha tersebut mengeratkan lagi hubungan baik All Reds dengan Al-Ikhsan yang telah terjalin lebih awal.

“Kami sudah menyokong Al-Ikhsan dan Football Republic sejak Januari 2018, malah sebelum Al-Ikhsan menjadi pengedar rasmi Liverpool FC. Jadi ini diharap dapat memberikan manfaat kepada kesemua pihak,” ujarnya.

Majlis tandatangan MoU itu dibuat sempena pelancaran serentak seluruh dunia jersi ketiga Liverpool FC untuk musim 2019/2020 di Football Republic, Sunway Pyramid.

MAJLIS tandatangan MoU dibuat sempena pelancaran serentak seluruh dunia jersi ketiga Liverpool FC untuk musim 2019/2020 di Football Republic, Sunway Pyramid. – Foto Astro AWANI