LAWAS: Ibu bapa di Lawas diminta membekalkan anak-anak kepada kemahiran teknikal dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dalam usaha memenuhi peluang pekerjaan di sini. 

Ahli Parlimen Lawas Yang Berhormat Dato Henry Sum Agong berkata lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan akan diadakan di Lawas selepas kemasukan syarikat dari China dalam pelaburan penapisan minyak dan gas.

“Untuk permulaan ini akan ada 1,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada orang Lawas.

“Manakala, lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan lagi akan diadakan selepas syarikat pelaburan dari China bertapak di sini.

“Justeru, anak-anak Lawas digalakkan melanjutkan pengajian dalam kemahiran dan peringkat tinggi dalam mengisi kekosongan pekerjaan itu nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Peringkat Daerah Lawas Tahun 2019 di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Dato Henry menegaskan pelaksanaan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) seperti yang diumumkan Ketua Menteri dalam Belanjawan 2019 dijangka akan memacu pembangunan di wilayah utara Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sejumlah RM1.5 bilion bagi melaksanakan NRDA dalam memacu pembangunan wilayah utara negeri ini. 

“Rakyat di Lawas turut menerima tempias daripada belanjawan sama melalui NRDA di bawah Lembaga Pembangunan Korior Wilayah (RECODA).

“Ini secara tidak langsung dapat membantu membangunkan Lawas dan Limbang selepas ada projek pembangunan yang dipohon sebelum ini kepada Kerajaan Persekutuan masih belum ada jawapan,” tegasnya. 

Pada majlis itu, Dato Henry telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk keperluan kegiatan PSKPP serta untuk keperluan pertandingan ke Limbang  nanti. 

Hadis sama Pegawai Pendidikan Daerah Lawas merangkap Pengerusi PSKPP Cawangan Lawas Dr. Hassan bin Hasbolah, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sundar merangkap Pengerusi Pengelola PSKPP Peringkat Daerah Lawas 2019 Omar Sidik, Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar Daerah Lawas serta Pegawai dan Penyelia Pejabat Daerah Lawas.