BINTULU: Lebih 2,000 peserta akan menyertai Sarawak Day Run yang berlangsung Ahad ini bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak 2019 pada 22 Julai depan.

Penyertaan pada tahun ini dapat menarik minat peserta dari negara luar seperti Belgium, Filipina ,Singapura, China, Taiwan , Afrika Selatan, United Kingdom dan Brunei di samping dari Semenanjung Malaysia.

Larian ini juga diadakan sempena kempen Tahun Melawat Sarawak 2019 sekali gus menggalakkan aktiviti sihat selain mempromosi bandar Bintulu sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Penganjuran Sarawak Day Run kali ini merupakan tahun keempat dan jumlah penyertaan peserta semakin meningkat berbanding tahun lepas.

Acara pada 20 Julai akan dimulakan dengan Family Run pada jam 4.30 petang. Family Run ini adalah pembuka tirai acara sebelum acara kemuncak pada hari berikutnya 21 Julai.

Pada 21 Julai, acara utama larian 21 kilometer akan dimulakan pada jam 5.15 pagi dan akan disempurnakan oleh Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera, YB Datuk John Sikie Tayai.

Program itu disusuli dengan larian acara 10 kilometer dan 5 kilometer masing-masing pada jam 6.00 dan 6.30 pagi.

Majlis penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Menteri Utiliti merangkap menteri bertanggungjawab ke atas sambutan Hari Sarawak 2019, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom. -Edisi UKAS