KUCHING: Kampung Bako yang meliputi Kampung Bako Hulu, Bako Tengah dan Bako Hilir akan terus menikmati pembangunan berterusan dalam tahun 2019 dan 2020 ini.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Yang Berhormat Dr Hazland Abang Hipni berkata beliau telah menggariskan beberapa projek pembangunan di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut bagi kawasan Kampung Bako dalam tempoh dua tahun ini.

 “Bagi Kampung Bako Hulu, tiga projek yang bernilai RM250,000 akan dilaksanakan iaitu Menaik Taraf Padang Bola Sepak dengan menyediakan trek dan tempat duduk bernilai RM100,000, Membina Rumah Komuniti bernilai RM100,000 dan Membina Gelanggang Silat bernilai RM50,000. 

 “Sementara itu, Kampung Bako Tengah pula sebanyak RM310,000 telah diperuntukan bagi Pembinaan Gelanggang Sepak Takraw berjumlah RM100,000, Membina Pangkalan Haji Agus berjumlah RM110,000 dan Membina Rumah Komuniti berjumlah RM100,000. 

 “Kampung Bako Hilir turut menerima projek paling besar iaitu RM710,000 membabitkan Pembinaan Padang Futsal RM100,000, Pembinaan Jeti Pangkalan Haji Sarjon RM160,000, Membina Rumah Komuniti RM100,000 dan Pembinaan Dewan Bako Hilir RM350,000. 

 “Jumlah keseluruhan Projek RTP di Kampung Bako ini bagi tempoh dua tahun 2019 dan 2020 adalah berjumlah RM1.27 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Padang Futsal Kampung Bako Hulu di sini, baru-baru ini. 

 Padang Futsal Kampung Bako Hulu mula dibina pada Disember 2018 dan siap dalam tempoh enam bulan dan merupakan Projek RTP Demak Laut pada 2018 yang bernilai RM200,000.

 Hadir sama Ketua-ketua Masyarakat Kampung Bako, ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SABERKAS.