SIBU: Ketua Menteri berkata, pada tahun ini Kerajaan Sarawak menyediakan subsidi tambang sejumlah RM2 juta bagi membantu pelajar di negeri ini yang belajar di Semenanjung Malaysia pulang ke pada musim perayaan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan menyahut permintaan pelajar Sarawak belajar di Semenanjung Malaysia untuk membantu mereka pulang semasa perayaan.

Mereka, katanya memohon bantuan balik kampung semasa Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak kerana tambang mahal.

Ujarnya, kerajaan  membenarkan mereka menerima bantuan sebanyak RM600 untuk dua perayaan berlainan.

“Alasannya, bapa ialah Cina manakala ibu ialah Dayak. Jadi, apabila Tahun Baharu Cina, dia balik dan apabila Gawai Dayak dia pun balik,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Makan Malam Harmoni anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Tujuh Klan di sini.

Menurutnya, kerajaan  turut membenarkan pelajar generasi hibrid ini menerima bantuan berkenaan.

Generasi hybrid merujuk kepada anak kacukan atau hasil perkahwinan antara kaum yang meluas di Sarawak.

“Mereka meminta kerajaan negeri membantu mereka RM600 setahun bagi setiap pelajar. Saya katakan tak ada masalah, maka kerajaan berikan kepada anda RM600 supaya anda dapat pulang,” katanya.

Ini merupakan antara inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Abang Johari untuk meringankan beban rakyat di negeri ini.