SIBU: Presiden PSB, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata beliau akan mendapatkan nasihat Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai kedudukannya dalam Kabinet Negeri.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Menteri terlebih dahulu. Saya perlu berbuat begini kerana beliau yang melantik saya ke jawatan ini,” kata Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdangan Antarabangsa dan E-Dagang  pada sidang media di sini semalam.

“Anda tahu pelantikan menteri ialah prerogatif Ketua Menteri,” katanya lagi.

“Saya tidak lagi mempunyai fungsi untuk mewakili parti dalam Kabinet Sarawak kerana semua kaki dan lengan saya telah dipotong,” katanya.

Sebelum ini, wakil dari PSB tidak lagi berada dalam senarai ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Difahamkan wakil rakyat PSB telah tidak mempunyai peruntukan di bawah MRP.

Pada Khamis Timbalan Presiden parti termuda Sarawak itu, Datuk Dr Jerip Susil mengambil tindakan drastik dengan keluar dari parti.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan Persidangan Delegasi Tahunan (ADC) parti itu sebelumnya, Adun Bawang Assan itu berkata, beliau menyerahkan keputusan  meletak jawatan sebagai menteri dalam kabinet negeri kepada para perwakilan.

Perwakilan Persidangan Delegasi Tahunan PSB  semalam menyerahkan keputusan kepada Soon Koh berbuat demikian.

Soon Koh berkata, apa-apa sahaja keputusannya selepas ini beliau akan tetap menjadi Presiden parti tanpa memegang jawatan kabinet.