KUCHING: Kehebatan sesebuah negara sangat bergantung dengan kehebatan undang-undang bagi merealisasikan dasar-dasar dalam perlembagaan.

Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,  peranan undang-undang adalah memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala kepentingan bagi semua pihak tanpa menjejaskan pihak lain.

Katanya, ia bukan sekadar menjaga kepentingan pemimpin, kumpulan atau puaknya sahaja, bahkan dipanjangkan lagi peranannya sehingga menjaga semua

Katanya, ada juga yang menggubal undang-undang bagi menjaga pihak tertentu sehingga melupakan rakyat umum yang wajib dibela dan dijaga.

“Bukanlah bermakna ada perkara tertentu itu tidak memerlukan undang-undang. Apa yang penting adalah kesaksamaan yang dinamakan keadilan untuk semua.

Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara. Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?,” katanya dalam satu kenyataan.

“Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu.

Puncanya apabila dijadikan perjuangan politik bagi diri dan puaknya sahaja tanpa mengira negara secara keseluruhan dan menyedari bahawa semuanya itu adalah rukun bagi tegaknya sesebuah negara,” kata Abdul Hadi lagi.

Ujarnya, PAS dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman Komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain.

“Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan. Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya,” katanya lagi.

“Apa yang paling menarik ialah apabila muncul kalangan yang membuat kenyataan kerana ada isu yang berkait secara khusus dengan peribadi mereka, tiba-tiba masing-masing mencabut topeng memperkenalkan diri siapa mereka sebenarnya,” katanya sinis..