Selepas berbeza pendapat politik dalam SUPP maka tertubuhlah parti baru di Sarawak , iaitu Parti Rakyat Bersatu yang dikenali sebagai UPP atau United Sarawak Party. Parti ini kemudian dijenamakan sebagai PSB atau Parti Sarawak Bersatu.

Parti ini dikenali sebagai parti towkay kerana dipimpin oleh Wong Soon Koh daripada etnik Foochow wilayah tengah Sarawak, di Sibu. Sebagai ahli politik foochow beliau sering dikaitkan dengan jaringan perniagaan yang besar berpusat di Sibu dan berpengaruh di Sarawak.
Dalam politik Foochow hubungan perniagaan dan politik tidak dapat dipisahkan. Apatah lagi menguasai media yang begitu ampuh yang mampu membina naratif dan wacana politik lebih meluas.

Perbalahan Politik

Meskipun terdapat perbalahan politik dalaman SUPP sejak tahun 2011, Wong tetapi dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Abdul Taib Mahmud.

Wong juga pernah dipecat dari SUPP pada Mei 2014, oleh Peter Chin Fah Kui yang menjadi presiden SUPP ketika itu. Peter Chin berpusat di Miri. Sebelum ini, George Chan dari etnik Hakka juga berseteru politik Soon Koh, hingga membawa pengundurannya dalam politik.
Isu pelantikan pimpinan komuniti yang membawa kepada ketidakpuasan kepada Wong Soon Koh yang menyebabkan krisis dengan presiden SUPP ketika Peter Chin menjadi presiden SUPP.

Inilah membawa Soon menyertai Parti TERAS bersama William Mawan. Namun, parti itu hanya bertahan kurang daripada tiga bulan kerana Wong menubuhkan parti baru Parti Rakyat Bersatu dengan membawa tiga wakil rakyat yang lain.

Selepas Abang Johari menjadi Ketua Menteri Sarawak, Wong diberikan mandat menjadi Menteri Perdagangan dan E Perdagangan, iaitu pada Mei 2017. Penghujung 2018, penjenamaan UPP kepada PSB dan parti ini bergerak sebagai parti pelbagai kaum meskipun ramai ahlinya terdiri daripada etnik Cina.

Tidak Diiktiraf

Sukar PSB untuk bersama GPS dan setakat ini cuma mereka sendiri anggap sebagai pro GPS walaupun tidak dikitiraf oleh SUPP. Beberapa hari lepas perwakilan Parti Sarawak Bersatu (PSB) telah memberi keizinan kepada presidennya, Wong Soon Koh untuk meletak jawatan dalam Kabinet negeri.

Hal ini berlaku apabila perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan (ADC) 2019 di Sibu hari ini meluluskan resolusi yang menyatakan mereka akan menyokong keputusan Wong dalam perkara itu (sama ada mengekalkan jawatan Kabinet atau sebaliknya). Situasi ini boleh memberikan impak dalam politik Sarawak.

Hakikatnya Wong sudah menjadi wakil rakyat di DUN Bawan Asan sudah lama, iaitu sejak 6 penggal bermula tahun 1991. Beliau yang kini mencecah usia 77 tahun ini dilihat mempunyai rasional besar sekiranya meletak jawatan.

Hak Presiden

Keputusan Presiden PSB untuk mempertimbangkan bagi peletakan jawatan dari kabinet negeri sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan sepatutnya bukanlah isu besar bak kata pepatah patah tumbuh hilang berganti.

Isu ini lebih kepada pemilihan secara rasional dan personal Wong Soon Koh sendiri dan tidak perlu mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sarawak. Hal ini kerana kehadiran PSB untuk menyertai komponen GPS disambut dingin oleh musuh politik PSB, meskipun PBB tidak ada masalah demi untuk mengukuhkan GPS menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Sebenarnya tindakan Wong Soon Koh menyukarkan pentadbiran negeri Sarawak baharu apabila pentadbiran Abdul Taib Mahmud dan Adenan Satem terus membiarkan situasi ini berterusan tanpa apa-apa penyelesaian.

Hal ini berlaku kerana Wong Soon Koh dilihat watak penting politik Sarawak kerana selaku etnik foochow berpusat di Sibu, beliau berpengaruh dan mempunyai akses besar dalam politik, perniagaan dan media di Sarawak. Sekiranya pengunduran presiden PSB ini berlaku maka ini akan dilihat dapat mengurangkan ketegangan politik dalaman GPS.

Namun ini tak semestinya membantu politik SUPP walaupun Soon Koh berundur dalam politik. Hal ini kerana SUPP berdepan dengan situasi sukar dan bersaing dengan DAP yang lebih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Cina.

PSB sebenarnya boleh mengimbang dan membantu mengekangkan pengaruh DAP kerana mempunyai sumber kewangan dan keahlian baru bebas daripada imej lama SUPP.

Jika pengunduran Wong Sonn Koh dalam kabinet benar-benar berlaku, bermakna PSB kini tidak ada nakhoda yang kuat. Tanpa jawatan politik kanan sebagai Menteri Kanan, PSB sukar bergerak, jentera parti semakin lemah dan pasti ramai yang akan melompat keluar.
Agaknya inilah yang cuba dibaca secara politik oleh Jerip Susil yang terus melompat lari dan keluar!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.