SIBU: Nasib Datuk Sri Wong Soon Koh dalam kabinet kini bergantung kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Meskipun ketika ditanya media malam tadi,  enggan menjawab isu berkenaan, dipercayai Abang Johari tidak dapat terus mengelak daripada memberi penjelasan tentang kedudukan Presiden PSB itu.

Yang pasti, Wong Soon Koh akan bersua muka dengan Ketua Menteri dalam  dua tiga hari ini.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa beliau akan diminta untuk mengundur diri — walaupun sebenarnya Menteri Kewangan Kedua dan Perdagangan Anatarabangsa dan E-Dagag itu boleh saja melepaskan jawatan itu lebih awal.

Sebaik sahaja tidak lagi dalam kabinet, tentu gelanggang permainan politik antara PSB dan GPS sudah berubah.

Malah, di Sibu dalam persidangan delegasi tahunan semalam, Soon Koh berkata, kini GPS tiba-tiba menjadi musuh PSB.

PSB bukan anggota GPS yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Namun, PSB mengisytiharkan dirinya mesra GPS.

GPS ditubuhkan  pada 12 Jun selepas keluar BN ekoran kekalahan gabungan berkenaan dalam PRU-14.

Pemerhati berkata, selepas ini, Soon Koh akan bersiap sedia untuk menggempur GPS dalam PRN akan datang.

PRN-12 dijangka diadakan seawalnya pada suku akhir tahun depan dan selewat-lewatnya suku pertama 2021.

Dalam ucapannya di Sibu semalam, Adun Bawang Assan itu berkata, apa-apa sahaja keputusannya selepas ini beliau tetap akan menjadi presiden parti tanpa perlu memegang jawatan kabinet.

“Saya masih Presiden PSB yang bekerja keras untuk menyatukan pemimpin di bawah satu payung PSB untuk bergerak ke hadapan. Peluang kita sangat cerah,” kata Wong Soon Koh di hadapan 3,000 perwakilan yang menghadiri persidangan itu.

Benarkah peluang PSB untuk memenangi kerusi dalam PRN akan datang cerah?

Memang, PSB dipercayai akan bertanding di sekurang-kurangnya 40 kerusi dalam pilihan raya kan datang.

Ketika ini GPS menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada Khamis Timbalan Presiden PSB  Datuk Dr Jerip Susil keluar dari PSB.

Selain Dr Jerip, lima lagi wakil rakyat dari PSB ialah Soon Koh (Bawang Assan), Ranum Mina (Opar), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kuja.

Namun, spekulasi bertiup kencang sekurang-kurangnya dua lagi pemimpin parti akan mengikut jejak langkah Dr Jerip.