KUCHING: Kedudukan PSB dalam Kabinet GPS memang agak aneh.

Biasanya pemimpin yang bukan anggota sesuatu pakatan tidak berada dalam kabinet.

Namun, untuk sekian lama, keadaan ini dikompromi.

Jadi, apabila Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata hanya parti dalam GPS boleh menjadi sebahagian daripada pentadbiran berkenaan, itu memang kenyataan yang tepat.

Kata Timbalan Ketua Menteri itu, dalam keadaan biasa, hanya parti politik dalam sesuatu pakatan layak menganggotai pentadbiran kerajaan.

“Ini akan memastikan ia akur kepada peraturan pakatan. PSB bukan dalam pakatan, jadi ia tak perlu mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.

“Inilah yang dilakukan oleh PSB dalam beberapa bulan ini, ia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan GPS,” katanya tanpa menghuraikan lanjut.

Kenyataan Masing itu dibuat di sebalik tersingkirnya wakil PSB daripada disenaraikan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Juga, di sebalik teka-teki tentang kemungkinan berlakunya rombakan kabinet dan pengunduran timbalan presiden PSB Datuk Dr Jerip Susil daripada parti itu.

Namun, Masing mengakui bahawa pelantikan ke dalam kabinet ialah prerogatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beberapa pihak menyifatkan kedudukan PSB dalam GPS sebagai duri dalam daging.