KUCHING: Parti manakah yang akan dipilih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mambong Datuk Dr Jerip Susil sebagai bertapak selepas ini?

Pada Khamis beliau mengumumkan keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), sekali gus meninggalkan parti itu.

Dr Jerip ialah bekas ahli dan pemimpin SUPP sebelum menyertai UPP yang kemudiannya dijenamakan semula menjadi PSB.

Berdasarkan kenyataan Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian, parti itu membuka pintunya untuk Dr Jerip atau bekas ahlinya kembali ke pangkuan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan berkata, PRS sedia menerima Menteri Muda Pengangkutan ke dalam pangkuannya.

Dr Jerip yang juga Adun Mambong pernah memohon untuk menyertai PBB sebelum ini, tetapi permohonan beliau tidak diterima.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Dr Jerip berkata, keputusan keluar PSB dibuat selepas membincangkan perkara itu dengan orang ramai, dan juga penyokongnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Mambong.

“Ia adalah keputusan yang amat memeritkan bagi saya… Keputusan ini juga adalah demi kepentingan perpaduan kaum Bidayuh,” katanya.

“Kini saya boleh menyumbang ke arah usaha membina dan mengukuhkan perpaduan kaum Bidayuh dalam kerajaan negeri Sarawak.. saya menyokong penuh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk terus memimpin Sarawak,” tambahnya.

Dalam seminggu ini spekulasi bertiup kencang mengenai beberapa pemimpin tertinggi parti, termasuk wakil rakyatnya akan meninggalkan parti berkenaan.

Beliau dan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh, yakni Menteri Kewangan Kedua, Perdagangan Antarabangsa, dan E-Dagang Sarawak, merupakan anggota dalam kabinet negeri, walaupun PSB bukanlah anggota GPS.

Selain Dr Jerip, lima lagi wakil rakyat dari PSB terdiri daripada Wong (Bawang Assan), Ranum Mina (Opar), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat.

Masir sebelumnya ialah pemimpin PRS yang melompat ke pangkuan PSB.