SIBU:  Banyak pihak yang masih dalam kebingungan mengapa berlakunya penyingkiran wakil pSB daripada dilantik menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan?

Mengapa tiba-tiba Timbalan Presiden PSB Datuk Dr Jerip Susil keluar daripada parti pimpinan Datuk Sri Wong Soon Koh itu?

Apa sebenarnya punca di sebalik alasan dan sebab yang diberikan oleh Menteri Muda Pengangkutan itu?

PSB bukan anggota GPS. GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun tahun lalu dianggotai oleh PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Malah kini ada ura-ura bahawa kedudukan Soon Koh sebagai menteri dalam Kabinet Sarawak juga tergugat.

Semalam dalam persidangan delegasi tahunan di Sibu Soon Koh mengakui bahawa kedudukan beliau dalam kabinet juga diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pemerhati berkata, perkembangan terbaharu membabitkan parti serpihan SUPP yang dijenamakan semula sebagai PSB daripada UPP itu ada kaitan dengan tindak-tanduk parti itu kebelakangan ini.

PSB menggunakan logo baharu pada Februari, dan dilihat cuba mengembangkan ahlinya.

Adakah ini menjadi sebab?

Soon Koh semalam tidak menolak sebab Kerajaan GPS tidak lagi melantik wakil dari PSB sebagai ahli majlis ialah ekoran perkembangan parti tersebut cuba mengembangkan jumlah keahlian selepas parti itu dijenamakan semula.

Adun Bawang Assan itu berkata PSB tidak faham mengapa GPS tiba-tiba menjadi musuh.

“Kami hanya mengambil beberapa pemimpin yang sudah meletak jawatan atau dipecat dari beberapa komponen komponen GPS.

“Kami hanya berbuat baik dengan niat untuk memperkuat bukan hanya parti kami tetapi juga secara tidak langsung membantu GPS agar mereka terbabit tidak menyertai pembangkang.,” katanya semalam.

PSB mengadakan persidangan delegasi tahunannya yang dihadiri sekitar 3, 000 ahli.

“PSB hanya mengambil beberapa pemimpin yang sama ada meletak jawatan atau dipecat dari beberapa komponen GPS,” katanya.

Beliau mengakui terdapat beberapa kawasan luar bandar mungkin milik beberapa parti komponen GPS, tetapi menyifatkan kehadiran PSB di situ sebagai wajar.

Ada juga dakwaan di sebalik pengisytiharan ia mesra GPS, PSB dikatakan bermain mata dengan PH.

“Kami berbuat baik dengan niat untuk memperkuat parti kami dan secara tidak langsung membantu GPS, daripada mereka ini menyertai pembangkang,” kata Soon Koh lagi.

Inilah yang mencetuskan desakan agar tindakan diambil terhadap parti itu.