KUCHING: Data tentang masyarakat Iban di Kuching akan dihimpunkan sebagai langkah untuk menangani isu berkaitan dengan komuniti itu.

Untuk itu, sebuah jawatankuasa khas dianggotai ketua masyarakat Iban di Bahagian Kuching diberi tempoh sehingga September depan untuk menyediakan data berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara isu yang dihadapi masyarakat Iban di bahagian ini ialah  isu setinggan, pengangguran, ketiadaan tanah perkuburan, dan salah guna dadah.

Beliau berkata, dengan adanya data itu nanti akan memudahkan Kerajaan Sarawak membuat perancangan bagi memastikan kehidupan mereka terus dapat ditingkatkan kesejahteraannya.

“Sudah pasti mereka mahu kehidupan yang lebih baik seperti memiliki pekerjaan, rumah, anak-anak bersekolah dan sebagainya,” ujar Uggah.