KUCHING: Dr Jerip Susil menggemparkan politik Sarawak pada petang Khamis apabila mengumumkan secara mengejut keputusan keluar PSB yang beliau menjadi Timbalan Presiden.

Semalam beliau tampil pertama kali di hadapan umum.

Pasti, media cuba mengasak Menteri Muda Pengangkutan itu dengan soalan sekitar tindakan beliau keluar parti.

Kelihatannya Dr Jerip belum bersedia menjawab soalan sekitar keputusannya itu.

“Saya tak mahu beri sebarang komen mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau masih mampu tersenyum membayangkan seolah-olah ada seribu satu sebab di sebalik tindakannya itu.

Itu bukan pertama kali beliau keluar daripada parti.

Dr Jerip pernah keluar parti Star, SUPP, Teras, sebelum menyertai UPP, sebelum parti serpihan SUPP itu dijenamakan semula menjadi PSB Februari lalu.

Parti lamanya SUPP sedia membuka pintu kepada beliau memohon sebagai ahli.

Persoalannya, ke mana hala tuju beliau selepas ini?

Apa tindakan PSB selepas beliau keluar dan wakil mereka tidak lagi disenaraikan sebagai ahli majlis tempatan?

Bagaimana pula nasib Presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh dalam Kabinet Sarawak?

Apa pula tindakan PSB?

Mungkin jawapannya diketahui di Sibu hari ini.